Tuesday, September 24, 2013

BAM Umum Projek Capai Sasaran Terbaik Empat Kejohanan Utama

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan struktur latihan baharu yang dipanggil 'Projek Menang-Menang' bagi mencapai sasaran terbaik dalam empat kejohanan utama tahun depan.

Empat kejohanan itu ialah Piala Thomas di India, Kejohanan Dunia di Denmark, Sukan Asia di Korea Selatan dan Sukan Komanwel di Scotland.

"Idea bagi menubuhkan projek ini adalah hasil forum media yang diadakan di antara wartawan sukan dan BAM pada 7 Sept," kata Presiden BAM Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff selepas mesyuarat tertutup lebih lima jam dengan jurulatih kebangsaan di sini Isnin.

Tengku Mahaleel berkata di bawah projek itu, latihan nasional akan dibahagikan kepada lima kategori iaitu perseorangan lelaki dan beregu, perseorangan wanita dan beregu di samping pasangan beregu campuran dengan jurulatih masing-masing.

"Jurulatih bagi setiap kategori akan memperbaiki kelemahan dan kekuatan para pemain mereka.

"Sebagai contoh, jika pemain begitu baik dalam 'smash' tetapi lemah dalam servis, jurulatih bagi kategori lain yang baik dalam servis akan menunjuk ajar para pemain bagaimana untuk memperbaiki servis pemain lelaki dan wanita," katanya.

Tengku Mahaleel berkata BAM telah mengenal pasti empat pemain berpotensi dari Sekolah Sukan Bukit Jalil (BJSS) untuk diketengahkan sebagai pemain dunia.

"Saya tidak boleh umumkan nama-nama mereka tetapi para jurulatih bersetuju sebulat suara bahawa keempat-empat pemain ini berpotensi besar menjadi juara dunia," katanya.

Tengku Mahaleel berkata mereka akan menjemput para pemain negeri yang berpotensi untuk menyertai projek ini dan dengan itu memberikan peluang yang sama dengan pemain kebangsaan ketika ini untuk mewakili negara di kejohanan antarabangsa.

Ditanya mengenai pelaksanaan projek itu, Tengku Mahaleel berkata: "Kita masih mempunyai beberapa mesyuarat selepas ini untuk memuktamadkan beberapa perkara sebelum ia dilaksanakan segera," katanya.

Sementara itu, Tengku Mahaleel berkata keputusan untuk menerima peletakan jawatan Rashid Sidek sebagai ketua jurulatih perseorangan negara bergantung sepenuhnya kepada kuasa anggota majlis BAM.

"Saya tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan seperti itu, saya difahamkan bahawa seorang daripada wakil kita, hari ini telah menghantar surat rasmi kepada Liga Badminton India (IBL), Delhi Smashers mengenai kontrak Rashid dengan mereka," katanya.

Khamis lalu, Rashid membuat keputusan mengejut dengan menghantar surat peletakan jawatan kepada BAM, dengan memberi alasan campur tangan daripada pengarah Talent Management Group Tan Aik Mong yang baharu dilantik BAM untuk merombak struktur latihan badminton negara.

Tengku Mahaleel yang mengadakan sidang akhbar, sehari selepas itu bagaimanapun, mengumumkan Rashid telah menandatangani kontrak dengan kelab badminton berpangkalan di New Delhi dan membayangkan tindakan undang-undang mungkin dikenakan ke atas Rashid jika perkara itu didapati benar.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment