Wednesday, September 18, 2013

Anuar nyaris jejak podium utama



ANUAR (depan) tampil bergaya apabila menduduki tempat ketiga pada peringkat kedua Jelajah China 2013 kelmarin.



JAGUH pecut negara, Anuar Manan berjaya menduduki tempat ketiga pada peringkat kedua kejohanan lumba basikal Jelajah China dari Deyang ke Deyang Shifang sejauh 201.8 kilometer (km) kelmarin.

Anuar yang mewakili kelab benua Azerbaijan, Synergy Baku Cycling Project, merakam masa yang sama dengan juara, Benjamin Giraud yang mencatat masa empat jam 33 minit 11 saat (s).
Kejayaan tersebut turut menjulang pelumba pasukan La Pomme Marsaille itu selaku pemenang Jersi Kuning (pendahulu keseluruhan) dengan masa 6'31:37s.

Seorang lagi pelumba kelab benua, Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd. Harrif Salleh yang tampil bersama pasukan kebangsaan Malaysia kempunan untuk menaiki podium meskipun memimpin aksi pada 500 meter (m) ke garisan penamat.

Malang buat Harrif apabila gagal mengekalkan rentak kayuhannya dan hanya sekadar menduduki tempat ke-36 manakala lima lagi pelumba negara - Muhammad Rauf Nur Misbah (46); Mohd. Fauzan Ahmad Lufti (55), Mohd. Shahrul Mat Amin (86), Suhardi Hassan (88) dan Amir Mustafa Rusli (89).

Semua pelumba tersebut merakam masa yang sama dengan Benjamin.
Malaysia berjaya memperbaiki kedudukan berpasukan keseluruhan daripada tempat ke-18 kepada ke-17 daripada 22 pasukan yang menyertai Jelajah China 2013.

Sementara itu, ketua jurulatih Malaysia, Aminuddin Sulaiman mengakui, beliau sangat teruja dengan kemenangan yang dilakar Anuar, sekali gus menganggap ia sebagai satu hadiah sempena Hari Malaysia yang disambut kelmarin.

"Sebenarnya pada satu ketika, saya melihat Harrif lebih berpeluang untuk menang. Bagaimanapun, apabila perlumbaan tinggal cuma 500m, peloton berpecah kepada dua kelompok. Harrif pilih sebelah kiri manakala Anuar ambil laluan kanan.

"Akhirnya Anuar berjaya mengekori Benjamin dan pemenang tempat kedua dari ASC Dukla (Alois Kankovosky). Ternyata dalam aspek ini, Anuar mempunyai naluri yang lebih mantap.

"Namun, saya tetap gembira dengan prestasi Harrif. Begitu juga dengan persembahan pelumba kebangsaan yang lain khususnya Rauf. Perlu diingatkan sekalipun bertaraf 2.1 dalam kalendar UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa), namun semua 22 pasukan yang sertai kejohanan ini adalah sangat kuat.

"Beberapa pasukan seperti Christina Watches-Onfone turut menampilkan bekas pelumba Pro-Tour seperti Stefan Schumacher. Pasukan itu juga sangat kuat kerana memiliki kapten Michael Rasmussen yang pernah menang jersi pendakian Jelajah Perancis pada 2005 dan 2006.

"Jadi secara keseluruhan pelumba kebangsaan Malaysia mendapat satu latihan sambil berlumba bersama pasukan yang sangat kuat sebelum berlepas ke Naypyitaw (Myanmar) untuk menghadapi Sukan SEA 2013," katanya ketika dihubungi di Deyang Shifang kelmarin.

Dalam pada itu, pengurus pasukan Malaysia, Norazman Abu Samah pula memuji persembahan semua pelumba khususnya Anuar.

"Ramai yang puji persembahan Anuar. Nama Malaysia menjadi sebutan semalam (kelmarin). Saya berasa sangat bangga, apatah lagi pada ketika itu negara kita sedang menyambut Hari Malaysia.
"Pada masa yang sama, dia berjaya menaiki podium pada peringkat ketiga Jelajah China semalam (kelmarin)," katanya

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0918&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz2fCawsXb4

No comments:

Post a Comment