Tuesday, August 27, 2013

Tuntut komitmen 100 peratus

BARISAN pemain Malaysia hanya memburu kemenangan ketika menentang Jepun pada aksi ketiga Kumpulan A Piala Asia 2013 di Stadium Sultan Azlan Shah, Ipoh malam ini.


SETIAP pemain Malaysia dituntut memberikan komitmen tinggi dalam memastikan tiga mata berharga ketika pertemuan terakhir peringkat Kumpulan A Kejohanan Hoki Piala Asia 2013 menentang Jepun di Stadium Sultan Azlan Shah, Ipoh malam ini.

Ketua pasukan, Mohamed Shahrun Nabil Abdullah menegaskan, kemenangan ke atas Jepun menjadi misi wajib dalam usaha mereka melangkah kaki ke separuh akhir pada kejohanan kali ini.
Justeru, Shahrun Nabil meminta rakan-rakan sepasukannya agar segera melupakan kekalahan 1-4 kepada Pakistan kelmarin dengan memberi fokus sepenuhnya dalam pertemuan hidup mati bertemu Jepun.

“Walaupun jika seri dengan Jepun kami mungkin akan layak ke separuh akhir, namun ia bukan satu kepastian.
“Lebih baik kami menetapkan misi wajib menang dengan Jepun untuk menjamin tempat ke separuh akhir.

“Peluang kami masih tidak tertutup dan saya optimis kami mampu menewaskan Jepun esok (malam ini),” kata Shahrun Nabil ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Sementara itu, penyerang sensasi, Faizal Saari berkata, dia kini berada dalam motivasi tertinggi dan tidak sabar untuk merobek gawang Jepun.

“Walaupun terkilan kerana tidak mampu menjaringkan gol dalam pertemuan dengan Pakistan semalam (kelmarin) tetapi saya bertekad akan bangkit dalam pertemuan esok (malam ini).
“Jurulatih (Paul Revington) juga mahu kami melupakan kekalahan 1-4 kepada Pakistan dan beliau mahu kami ‘memusnahkan’ Jepun seterusnya menempah tiket ke separuh akhir.

“Saya akui kami tidak banyak melancarkan serangan merbahaya ke kubu Pakistan dalam pertemuan tersebut.

“Namun, dalam pertemuan dengan Jepun nant,i kami akan menyerang habis-habisan,” kata Faizal.
Pada aksi sulung Piala Asia Sabtu lalu, Faizal telah meledak hatrik bagi membantu Malaysia membelasah Taiwan dengan 10-2.

No comments:

Post a Comment