Monday, August 26, 2013

Pengulas Sukan Perlu Berinformasi Bukan Kejar Populariti

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Kerjaya sebagai pengulas sukan sering dikaitkan dengan populariti namun ia bukan tugas mudah apabila mereka sering dianggap 'berat sebelah' terutama ketika mengulas perlawanan bola sepak tempatan.

Pengulas sukan Astro Arena Hafizal Hamad yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun berkata pengulas sukan perlu memikul tanggungjawab besar dan sentiasa positif dengan kritikan agresif sesetengah peminat sukan tanah air.

"Menjadi pengulas sukan ni tidak semestinya dikaitkan dengan populariti semata-mata sebaliknya perlu mempunyai minat dan maklumat yang banyak tentang sesuatu sukan, jika tidak corak pengulasan akan jadi kaku dan membosankan.

"Ini yang menjadi masalah (ulasan kaku dan bosan) apabila pengulas sukan tidak pandai membuat ulasan sehingga ada yang tergagap-gagap dan menyebabkan mereka tidak berjaya menarik minat pendengar ataupun penonton," katanya kepada Bernama dalam temu bual di sini.

Beliau berkata untuk menjadi pengulas sukan yang berjaya seseorang itu perlu mempunyai minat dalam semua jenis sukan, bukan hanya tertumpu pada sukan popular seperti bola sepak.

Bagi Hafizal, mutu ulasan akan menjadi hambar sekiranya seseorang pengulas itu hanya mementingkan populariti kerana kepelbagaian informasi yang disampaikan adalah penting untuk menarik orang ramai terus memberi sokongan kepada sukan tempatan.

"Mereka (pengulas) juga perlu tahu teknik yang hendak digunakan untuk menarik minat penonton terus mendengar ulasan sukan itu," katanya.

Hafizal pernah membuat ulasan dalam beberapa temasya berprestij seperti Sukan SEA Manila, Sukan SEA Korat, Sukan Asia Doha, Sukan Olimpik Beijing, Kejohanan Badminton All England dan Thomas Cup.

Kebanyakan pengulas sukan baharu sekarang tidak bermula dari peringkat bawah, sebaliknya mereka dilantik dengan mudah tanpa mempunyai pengalaman membuat liputan luar terlebih dahulu, katanya.

Beliau berkata ikon pengulas sukan seperti Datuk Rahim Razali dan Datuk Hasbullah Awang mempunyai hubungan rapat dengan atlet dan sering 'turun padang' berjumpa atlet, bukannya sekadar mengulas di depan kaca televisyen.

"Sikap itu (turun padang berjumpa atlet) perlu dicontohi oleh setiap pengulas sukan muda jika mahu mencipta nama seperti ikon-ikon negara itu," katanya yang merasakan Malaysia masih kekurangan pengulas sukan.

Sementara itu, idola dan guru kepada Hafizal yang juga 'otai' dalam bidang pengulasan sukan Datuk Hasbullah Awang berpendapat pengulas sukan baharu kini lebih beruntung berbanding era beliau kerana pelbagai informasi menarik mengenai sukan dan atlet boleh didapati di hujung jari sahaja.

Beliau berkata pengulas sukan baharu sepatutnya tidak mempunyai masalah ketika membuat ulasan perlawanan bola sepak ekoran penggunaan teknologi canggih yang memudahkan kerja mereka.

"Jika hendak dibandingkan pada era saya dan Datuk Rahim Razali, selepas selesai perlawanan kami kena turun padang, tunggu pemain di luar bilik persalinan untuk dapatkan maklumat biodata serta reaksi pemain.

"Bagi saya pengulas sekarang lebih baik berbanding dulu, peminat bola sepak sekarang suka dengan penyampaian sekarang. Kalau dulu radio lebih berpengaruh, sekarang pengulas radio hanya memberikan perkembangan semasa perlawanan. Tumpuan lebih kepada ulasan di televisyen," katanya.

Mengulas mengenai perkara itu, pengkritik sukan negara Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim berkata pada era tahun 30-an dan 40-an hanya orang biasa yang terlibat menjadi pengulas sukan namun mereka mampu membuat ulasan permainan dengan baik sekali.

"Mereka (pengulas sukan dahulu) melakukanya secara percuma tanpa sebarang bayaran seperti yang diperoleh pengulas sukan hari ini.

"Malah mereka sanggup korbankan masa dan tenaga semata-mata kerana minat dan 'kegilaan' mendalam kepada sukan tidak kira sama ada sukan bola sepak, ragbi, hoki mahupun golf," katanya.

Khoo berkata pengulas sukan dahulu seakan ketagih dengan sukan sebab itu mereka mampu memberi fokus yang terbaik dan jarang melakukan kesilapan dalam membuat ulasan.

"Bagaimanapun saya tidak mengatakan pengulas sukan hari ini tidak bagus sebaliknya tidak sehebat mereka yang terdahulu," katanya.

Beliau berkata antara perkara yang perlu ada dalam diri pengulas sukan ialah mengetahui fakta dengan tepat, daya pemerhatian yang tajam ketika membuat ulasan perlawanan secara langsung, berpengetahuan dalam ilmu sukan, tahu sejarah sukan dan adil serta tidak berat sebelah ketika membuat ulasan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment