Friday, August 23, 2013

Pemimpin Pesaka Terajui Sukan Perpaduan Islam Di Indonesia

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) Datuk Megat Zulkarnain Omar Din mengesahkan pelantikan beliau selaku ketua kontinjen negara ke Sukan Perpaduan Islam ketiga dari 22 Sept hingga 1 Okt ini di Palembang, Indonesia.

Beliau menerima surat pelantikan daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) beberapa hari lepas yang disokong penuh Majlis Sukan Negara (MSN).

"Saya tidak menyangka terpilih untuk menjadi ketua kontinjen negara ke Sukan Perpaduan Islam. Bagi saya, ini bukan sahaja merupakan satu penghormatan buat diri saya, tetapi kepada sukan silat secara keseluruhannya," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pengurus pasukan ke Sukan Sea Myanmar di Wisma MOM hari ini.

Megat Zulkarnain berkata satu mesyuarat pengurus pasukan temasya sukan yang melibatkan penyertaan negara Islam itu akan diadakan bersama MSN Selasa ini.

Setiausaha Agung MOM Datuk Sieh Kok Chi sebelum ini dilapor sebagai berkata mereka setuju menghantar 112 atlet dan pegawai untuk menyertai 13 acara seperti diputuskan pada mesyuarat pemilihan MOM 27 Feb lepas.

Untuk rekod, Malaysia menduduki tempat ketujuh selepas meraih lima pingat emas, lima perak dan enam gangsa pada edisi sulung kejohanan di Arab Saudi pada 2005.

Idea penganjuran temasya itu tercetus semasa Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Putrajaya pada 2003.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment