Thursday, August 22, 2013

Pemain gagal lepasi ujian doping

TAUFEK (kanan) mengesahkan seorang pemain gagal dalam ujian doping pada 29 Jun lalu.


ARENA sukan tanah air tiba-tiba digemparkan dengan berita seorang pemain bola sepak didapati positif dalam ujian doping selepas tamat aksi final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil 29 Jun lalu.

Berita mengejutkan itu disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Taufek Razak semalam, namun beliau enggan mendedahkan nama pemain terbabit.

Bagaimanapun, Taufek berkata, pihaknya belum menjatuhkan sebarang hukuman kerana mahu memberi ‘peluang kedua’ kepada pemain terbabit.

“Kes ini melibatkan seorang pemain yang dituduh terlibat dalam penyalahgunaan dadah selepas final Piala FA.

“Namun, Jawatankuasa Tatatertib FAM memutuskan untuk menangguhkan dahulu hukuman bagi membolehkan pemain itu tampil memberi keterangan.

“Buat masa ini, saya hanya boleh mengesahkan pemain itu gagal dalam ujian doping pertama,” kata Taufek ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Taufek berkata, pihaknya telah mengemukakan laporan ujian doping itu kepada majikan (persatuan bola sepak negeri) pemain terbabit pada 19 Julai lalu.

“Bagaimanapun, sehingga hari ini, FAM masih belum menerima sebarang maklum balas daripada persatuan negeri tersebut.

“Jadi Jawatankuasa Tatatertib FAM memutuskan untuk menangguhkan dahulu bentuk hukuman untuk memberikan peluang kepada pemain itu hadir memberikan keterangan pada mesyuarat yang akan ditetapkan nanti.

“Apa yang boleh saya katakan, pemain terbabit memang sah gagal ujian doping pertama yang dilakukan selepas tamat aksi final Piala FA pada 29 Jun lalu,” tambahnya.

Taufek turut memberikan amaran bahawa pemain yang didakwa gagal ujian doping itu akan digantung seumur hidup sekiranya masih gagal ujian kedua doping nanti.

“Kami mengetahui keputusan doping selepas aksi final Piala FA dan pemain itu berdepan hukuman maksimum gantung seumur hidup jika disabit kesalahan,” katanya.

Aksi final Piala FA musim ini telah menemukan Johor Darul Takzim (Johor DT) dan Kelantan di Stadium Nasional Bukit Jalil yang menyaksikan The Red Warriors dinobatkan sebagai juara apabila menang 1-0.

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment