Thursday, August 22, 2013

Peluang Lela, Mun Yee cerah di Glasgow

Putrajaya: Kontinjen negara mempunyai prospek meraih pingat emas acara terjun seirama menerusi gandingan penerjun negara Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee pada temasya Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland, tahun depan.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata, Malaysia mempunyai prospek memenangi pingat emas acara itu kecuali acara renang seriama yang tidak akan dipertandingkan pada temasya sukan itu.

“Saya difahamkan acara terjun seirama kekal dipertandingkan pada Sukan Komanwel tahun depan,” katanya pada sidang media di pejabatnya semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan penganjur Sukan Komanwel akan menggugurkan acara terjun irama pada tahun depan.

Sementara itu, Pandelela berkata, Scotland selaku tuan rumah pasti rugi sekiranya acara terjun seirama tidak dipertandingkan kerana mereka mempunyai pasukan yang mantap dalam acara itu.

“Pada Kejohanan Renang Dunia FINA ke-15 di Barcelona, Sepanyol, baru-baru ini, penerjun Scotland antara pencabar kuat kepada pasukan negara,” katanya pada majlis penyerahan insentif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
Pandelela dan Mun Yee menerima RM5,000 daripada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, atas kejayaan memenangi pingat gangsa 10m platform seirama pada Kejohanan Renang Dunia itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment