Tuesday, August 27, 2013

Naam Sasar Raih Pingat Pada Olimpik 2016

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) menyasarkan untuk berada dalam kelompok tiga sukan teras yang mampu menyumbangkan pingat kepada Malaysia pada Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Presiden NAAM Tan Sri Abdul Halil Abd Mutalib berkata sasaran itu adalah berdasarkan prestasi semasa pemanah kebangsaan dalam beberapa kejohanan antarabangsa.

"Pasukan memanah Malaysia kini berada di ranking ketujuh dunia manakala Khairul Anuar Mohamed merupakan antara lima pemanah terbaik dunia. Jadi sasaran untuk meraih pingat adalah relevan.

"Lagi pun kita pernah menjuarai beberapa kejohanan dunia dan pemanah kita pernah meraih pingat perak dan gangsa. Jadi, tiada sebab atlet kita tidak boleh mendapat pingat di Olimpik nanti," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangi perjanjian persefahaman (MoU) antara NAAM dan promoter sukan, BP Sports Asia di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil di sini, Isnin.

MoU, itu yang berkuat kuasa sehingga 2016 itu, disaksikan Ketua Pengarah MSN Datuk Seri Zolkples Embong.

Abdul Halil berkata Khairul Anuar pernah memenangi pingat perak pada Kejohanan Piala Dunia 2011 di Shanghai, China dan mara ke suku akhir pada Sukan Olimpik 2012 di London.

"Tidak salah jika saya meletakkan sasaran dan berjanji bahawa pemanah negara akan membawa pulang pingat pada Sukan Olimpik 2016 kerana ia bukan sesuatu perkara mustahil untuk dicapai," katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Halil berkata badan induk itu akan memberi lebih tumpuan dan pendedahan kepada pasukan compound negara selaras dengan penyenaraian buat pertama kali acara berkenaan pada Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan.

Mengenai sasaran NAAM pada Sukan SEA di Myanmar pada Disember ini, beliau berkata pihaknya menyasarkan tiga pingat emas.

Sementara itu, Zolkples percaya selain badminton dan terjun, sukan memanah mampu menyumbang pingat kepada Malaysia pada Sukan Olimpik 2016.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment