Thursday, August 22, 2013

Kita sudah layak!


Kuala Lumpur: Skuad hoki negara secara asasnya sudah layak ke Piala Dunia di The Hague, Belanda pada tahun depan selepas mengambil kira perkembangan semasa Kejohanan Eropah yang berlangsung ketika ini.

Pada saingan yang berlangsung di Belgium itu, Kumpulan A menyaksikan Belanda dan England sudah melangkah ke separuh akhir manakala Kumpulan B menyaksikan perebutan antara Jerman, Belgium dan Sepanyol.

Kecuali Sepanyol, empat pasukan berkenaan sudah layak ke Piala Dunia dan sekiranya Sepanyol muncul juara atau salah satu daripada empat pasukan itu muncul pemenang, Sepanyol yang berada dalam senarai menunggu kedua akan layak ke Piala Dunia.
Malaysia yang berada dalam senarai menunggu ketiga, pasti layak ke Piala Dunia walaupun jika gagal di Piala Asia iaitu menerusi slot di Piala Oceana yang berlangsung pada November.

Ini kerana Australia dan New Zealand, dua pasukan yang sering mendominasi kejohanan itu sudah layak ke Piala Dunia manakala baki dua pasukan yang bertanding dilabel lemah iaitu Papua New Guinea serta Samoa dianggap mustahil untuk memenangi Piala Oceana.

“Satu berita baik kalau kita sudah layak, tapi saya mahu barisan pemain negara layak menerusi Piala Asia. Kita mahu layak secara bermaruah di depan penyokong sendiri. Saya tak bermaksud menolak peluang layak menerusi senarai menunggu, tapi lebih baik jika kita menang Piala Asia dan sekali gus layak ke Piala Dunia,” kata Naib Presiden Kanan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Nur Azmi Ahmad ketika dihubungi semalam.
Perkembangan itu bermakna, skuad negara menamatkan kemarau selama 12 tahun gagal layak ke Piala Dunia sejak membuat penampilan terakhir ketika menjadi tuan rumah di Kuala Lumpur pada 2002.


 Oleh Saiful Affendy Sapran, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment