Thursday, August 29, 2013

Khairy tidak suka senior ugut BAM

Khairy meluangkan masa bermain skuasy bersama Nicol di Bukit Jalil, semalam. - UTUSAN/RUSHDI SALLEH 
 
KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan, beliau tidak suka dengan sikap beberapa pemain senior yang dikatakan cuba mengugut untuk meninggalkan pasukan kebangsaan dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) jika tidak disenaraikan ke Terbuka Jepun, bulan depan.

Katanya, tindakan berkenaan juga tidak sewajarnya ditunjukkan pemain yang bertaraf dunia apatah lagi ketika mereka masih gagal menunjukkan prestasi yang baik khususnya dalam Kejohanan Dunia di Guangzhou, awal bulan ini.

"Saya tidak suka sikap sebegitu. Kalau sampai tahap mengugut persatuan tetapi tidak dapat menunjukkan prestasi yang baik, itu bukanlah sikap yang kita suka lihat pada atlet kita yang bertaraf dunia," katanya selepas majlis 'Sepetang Bersama Nicol David' anjuran Akademi Skuasy Pro Sharon Wee di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Beliau mengulas ugutan beberapa pemain senior yang turut membimbangkan jurulatih yang menyokong mereka ke Terbuka Jepun dari 17 hingga 22 September ini walaupun atas tiket persendirian atau sanggup keluar terus pasukan kebangsaan dan BAM, jika digugurkan daripada senarai awal ke sana.

Sementara itu, kata Khairy, beliau telah bertemu dengan Presiden baharu BAM, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff beberapa hari lalu dan perbincangan mereka menjurus kepada program melahirkan generasi pelapis Datuk Lee Chong Wei bagi tempoh tiga atau empat tahun akan datang.
"Program itu merupakan antara keutamaan segera kita dan saya melihat Tan Sri Tengku Mahaleel berpengalaman dalam bidang badminton dan cukup memahami keadaan pengurusan BAM.

"Saya juga kagum dengan kesungguhannya dan percaya, bantuan dan kerjasama daripada kementerian dan BAM ini bakal membawa hasil badminton (pelapis Chong Wei) dalam tiga empat tahun lagi," katanya.

Kepada skuad hoki negara yang masih berjuang merebut tiket Piala Dunia, tahun depan dengan menghadapi India pada separuh akhir Piala Asia Kesembilan di Ipoh, Perak, esok, pesannya" "Walaupun kita mengalami satu kekalahan, kita bermula dengan baik (membelasah Taiwan dan menumpaskan Jepun, kelmarin).

"Saya harap mereka teruskan prestasi. Walaupun tampak macam kita kian hampir ke Piala Dunia, kita hendak tunjuk prestasi baik dalam Piala Asia dan layak dengan merit. Kalau tidak menang pun, saya tetap harap pasukan masih dapat kedudukan yang baik (di Ipoh)."

Mengenai rakaman video di laman sosial yang menyiarkan seorang pegawai kanan sebuah persatuan bola sepak negeri memarahi pengadil kerana mempertikaikan keputusannya dalam perlawanan Piala Malaysia, Sabtu lalu, katanya: "Saya minta FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) berikan perhatian kepada perkara itu.

"Kita tidak mahu ada keputusan pengadilan yang boleh dipertikaikan atau mutu (tugas mereka) yang tidak tinggi (selain itu) saya juga tidak mahu ada campur tangan mana-mana pihak dalam soal itu."

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment