Wednesday, August 28, 2013

Harimau tiada lawan kompetitif


SKUAD Harimau Muda diberi tanggungjawab membawa cabaran Malaysia pada kempen Pesta Bola Merdeka kali ini.


IBARAT sudah jatuh ditimpa tangga.
Itu hakikat pahit yang terpaksa ditelan skuad Harimau Muda gara-gara sukar memburu lawan yang kompetitif sebagai persediaan menjelang Pesta Bola Merdeka 2013 yang bakal membuka tirainya di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 7 September depan.

Apa tidaknya, aksi persahabatan antara Harimau Muda dan Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 3 September depan kini hanya tinggal impian apabila ia tidak dapat dilangsungkan.
Menurut pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee, pihaknya dimaklumkan oleh Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) berhubung pembatalan aksi persahabatan itu baru-baru ini.

"Aksi persahabatan itu tidak dapat diadakan kerana pemain Pahang diberikan pelepasan memandangkan saingan kempen Piala Malaysia berehat seketika ketika itu.
"Justeru, saya menghormati keputusan PBNP yang tidak dapat mengadakan perlawanan persahabatan bersama kami pada tarikh itu," katanya kepada Kosmo! semalam.

Sebelum ini, aksi persahabatan dengan skuad kebangsaan Bangladesh yang sepatutnya berlangsung di stadium yang sama pada 22 Ogos lalu juga terpaksa dibatalkan atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

Bagaimanapun, Kim Swee tidak panik dengan situasi itu dan memberikan jaminan akan berusaha sedaya-upaya mengenalpasti beberapa aksi persahabatan kompetitif sebelum kejohanan bermula.
"Kami masih ada satu perlawanan persahabatan berdepan UiTM di Wisma FAM, Khamis ini (esok).
"Pada masa sama, saya juga berharap mampu mencari sekurang-kurangnya satu lagi aksi persahabatan sebelum Pesta Bola Merdeka.

"Ini kerana tahap kecergasan pemain beraksi selama 90 minit hanya boleh dinilai menerusi aksi persahabatan, bukannya sekadar latihan biasa," jelas beliau.

Pada edisi kali ini, skuad Harimau Muda bakal berdepan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) Singapura di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 7 September depan sebelum melayan cabaran B-23 Myanmar (9 September) dan B-23 Thailand dua hari kemudian.

Aksi penentuan tempat ketiga/ keempat dan final pula dijadualkan berlangsung di stadium yang sama pada 14 September.

Kali terakhir Malaysia menjulang trofi Pesta Bola Merdeka ialah pada 2007 apabila mengecewakan Myanmar 3-1 di pentas final.

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment