Tuesday, July 16, 2013

Zolkples minta Arul sedia

KUALA LUMPUR - Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong meminta penolong jurulatih, Arul Selvaraj supaya bersedia untuk menghadapi apa jua kemungkinan mengenai masa depan jurulatih, Paul Revington bersama skuad hoki kebangsaan.

Menurutnya, beliau telah menemui Arul pagi semalam dan memintanya supaya meneruskan program latihan skuad kebangsaan jika Revington meletak jawatan.
"Saya akan menemui Revington esok (hari ini) untuk mendapatkan jawapan sama ada dia mahu meneruskan tugasnya atau sebaliknya.

"Tanpa mengira apa juga keputusan Revington, saya secara peribadi meminta Arul supaya bersedia menggalas tugas melatih skuad kebangsaan jika Revington mengambil keputusan melepaskan jawatannya," katanya selepas majlis menandatangani tajaan Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) dan syarikat peralatan sukan, Li Ning di sini, semalam.

Awal bulan lalu, Revington membuat kejutan apabila meletak jawatan dengan alasan wujud campur tangan daripada jurulatih skuad remaja negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah dan Pengarah Pembangunan Hoki 1MAS, Lim Chiow Chuan.

Bagaimanapun, selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pada hujung bulan lalu, Revington mengubah keputusannya dan bersetuju meneruskan tugasnya secara sementara iaitu sehingga tamat Kejohanan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Johor Bahru, yang berakhir minggu lepas.

Namun, sehingga kini Revington masih lagi membisu berhubung masa depannya bersama pasukan kebangsaan.
Tambah Zolkples, dalam pertemuan dengan Arul semalam, penolong jurulatih itu menyatakan kesanggupannya untuk meneruskan sesi latihan skuad kebangsaan.

"Arul memberikan maklum balas yang baik, malah dia bangga jika dapat menggalas tugas tersebut.
"Tambahan pula sejak sejak kebelakangan ini, Arul lebih banyak mengendalikan latihan pasukan kebangsaan dan lebih kerap bersama pemain berbanding Revington.

"Apa jua keputusan Revington esok, ia tidak akan menjejaskan jejas program yang sudah dirancang, khususnya persediaan kita untuk menghadapi kejohanan Piala Asia di Ipoh, bulan depan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Zolkples memuji kejayaan pemain negara, Soo Teck Zhi yang dinobat juara perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Remaja Asia Bawah 19 di Kota Kinabalu, kelmarin.
Teck Zhi muncul juara selepas mengalahkan pemain Korea Selatan, Jeon Hyuk Jin 21-17, 13-21, 21-15 dalam perlawanan akhir di Stadium Tertutup Likas.

"Kejayaan Teck Zhi adalah satu petanda baik buat sukan badminton kebangsaan dan menunjukkan peningkatan dalam kalangan pemain remaja," katanya.

Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment