Monday, July 08, 2013

‘Usah pamer aksi yo-yo’

Johor Bahru: Jangan pamer aksi yo-yo lagi. Demikian ingatan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah kepada barisan pemain negara selepas menamatkan kempen di kejohanan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia semalam dengan menewaskan Jepun bagi penentuan tempat kelima dan keenam.

Meskipun gembira dengan keputusan yang diraih anak buah Paul Revington kerana ia mencerahkan peluang skuad negara beraksi pada Piala Dunia 2014 di Belanda, Tengku Abdullah menganggap aksi tidak konsisten termasuk ketika bertemu Jepun semalam sehingga mengheret perlawanan ke penentuan penalti shoot-out harus diatasi sebelum bermulanya saingan Piala Asia, Ogos depan.

“Masih lagi ada kelemahan tertentu dan untuk itu saya harap mereka tingkatkan lagi corak permainan lebih baik.
“Persembahan kita macam yo-yo, tak konsisten. Ini yang menjadi kebimbangan saya,” katanya.

Walaupun penamat kelima meletakkan skuad negara hampir pasti ke Piala Dunia, Tengku Abdullah berkata, jalan terbaik untuk mengesahkan tiket ke Belanda adalah dengan menjuarai Piala Asia Ogos nanti.

Mengulas mengenai masa depan Revington yang sebelum ini mencetuskan kontroversi mahu meletak jawatan, Tengku Abdullah sekali lagi menegaskan segala-galanya terpulang kepada jurulatih berusia 39 tahun dari Afrika Selatan itu.
“Kami (MHC) bersikap terbuka tapi saya harapkan beliau kekal di Malaysia, terpulang kepada beliau.

“Beliau ada sebab-sebab tersendiri (sama ada mahu kekal atau tidak),” katanya.


Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment