Thursday, July 11, 2013

Universiade: Skuad Hoki Malaysia Tunduk 4-1 Kepada Rusia


KAZAN, (Rusia), 11 Julai (Bernama) -- Skuad hoki negara gagal meneruskan rentak kecemerlangan apabila kalah 4-1 kepada Rusia pada perlawanan kedua Kumpulan A di temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade 2013) di sini Rabu.

Selepas kemenangan bergaya 7-1 ke atas Poland, Ahad lepas, Malaysia tersentak apabila Russia menampilkan kebangkitan selepas jaringan kapten Muhammad Razie Abdul Rahim menerusi pukulan sudut penalti seawal minit ketujuh.

Rusia berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Nikolay Komarov pada minit ke-16 diikuti Igor Sinyangin pada minit ke-25.

Rusia menambah duka skuad negara apabila Almaz Kurbanoz meletakkan pasukan tuan rumah itu mendahului 3-1 pada minit ke-27.

Pada babak kedua, skuad hoki negara bertambah tertekan dengan jaringan keempat lawan, menerusi Pavel Golubev pada minit ke-47.

Malaysia masih berbaki dua lagi perlawanan iaitu menentang Itali dan Afrika Selatan untuk meneruskan misi muncul juara atau naib juara kumpulan.

Juara kumpulan A dan B akan bermain di final bagi penentuan pingat emas dan perak manakala naib juara kumpulan akan bersaing untuk pingat gangsa.

Kumpulan B terdiri daripada Perancis, Jerman, Korea Selatan, Ukraine dan Jepun.

Daripada Nursyabiha Sukri -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment