Tuesday, July 09, 2013

Tiga pemain terima hukuman



MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (dua dari kiri) hadir menyaksikan final acara bola baling antara Terengganu dan Negeri Sembilan pada Sukma 2013 di Stadium Putra, Bukit Jalil Sabtu lalu.



TIGA pemain bola baling Wilayah Persekutuan yang didapati bersalah membawa masuk minuman keras ke Perkampungan Sukan Malaysia (Sukma) 2013 minggu lalu, digantung serta-merta daripada terlibat dalam sebarang aktiviti sukan berkenaan.

Presiden Persekutuan Bola Baling Malaysia (PBBM), Pandak Ahmad berkata, pengurus, jurulatih dan seorang pegawai pasukan terbabit turut dikenakan tindakan sama walaupun mereka tidak terlibat membawa masuk bahan larangan berkenaan ke Perkampungan Sukan di Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang.

Beliau berkata, PBBM memandang serius insiden tersebut dan tindakan akan diambil terhadap ketiga-tiga pegawai terbabit yang tidak menjalankan tanggungjawab memantau atlet mereka sepanjang berada di perkampungan sukan.

"Pada perjumpaan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini (semalam), kami usulkan supaya mereka ini digantung sementara kerana dalam insiden pada Rabu lepas, terdapat dua kes iaitu membawa masuk minuman keras dan rogol.

"Berhubung kes rogol, kami serahkan kepada pihak polis. Kami gantung mereka sementara kerana insiden membawa masuk minuman keras ke Perkampungan Sukan adalah salah," kata Pandak semalam.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang pegawai pengiring skuad bola baling Wilayah Persekutuan membuat laporan polis mendakwa dia dirogol secara bergilir-gilir oleh atlet lelaki skuad bola baling di Perkampungan Sukan di UPM Rabu lalu.

Mengulas lanjut, Pandak berkata, berikutan insiden itu, pihaknya akan mengeluarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi atlet dan pegawai termasuk pengurus dan jurulatih, yang terlibat dalam sesuatu kejohanan atau temasya sukan.

"Misalnya, dalam kes ini, pegawai pengiring itu berumur 19 tahun dan dia perlu awasi atlet lelaki yang berusia 18 dan 19 tahun. Banyak kemungkinan yang boleh berlaku.

"Dalam SOP itu juga, kami akan nyatakan bahawa membawa minuman keras semasa berlangsungnya sesuatu kejohanan itu adalahsalah bagi seseorang atlet," katanya.

Ketika ini, tiga atlet bola baling lelaki Sukma 2013 ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan polis berkaitan kes rogol itu.

Ketika-tiga suspek berusia antara 18 dan 19 tahun itu ditahan Jumaat lalu di Perkampungan Sukan berkenaan, sehari selepas mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang


KOSMO

No comments:

Post a Comment