Tuesday, July 09, 2013

Tengku Kamil tidak minat ganti Nadzmi

Kuala Lumpur: Tengku Kamil Ismail Tengku Idris Shah tidak berminat menggantikan Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), biarpun namanya sebelum ini disebut-sebut bakal bertanding merebut kerusi panas itu pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), 27 Julai ini.
Timbalan Presiden 1 BAM itu berkata, tanggungjawab selaku Tengku Besar Pahang membuatkannya sibuk biarpun ramai presiden persatuan negeri bertemunya untuk memberi sokongan.

“Maaf, saya tidak akan bertanding. Rakan-rakan pemimpin persatuan negeri memang mahu saya bertanding kerana menganggap saya orang paling lama dalam BAM, tapi ada banyak tugas rasmi di Pahang dan tidak boleh selalu meninggalkan negeri,” kata Tengku Kamil.
Beliau berkecimpung 27 tahun dalam pentadbiran badminton tempatan termasuk memegang tampuk kepimpinan badminton Pahang.

“Saya perlu berikan komitmen tinggi jika berhasrat menjadi presiden, perlu selalu turun melawat pemain dan jurulatih, sekurang-kurangnya dua minggu sekali. Kesibukan saya tidak mampu memenuhi komitmen itu dan tidak mahu orang marah jika gagal berbuat demikian,” katanya.

Selain enggan bertanding kerusi presiden, beliau juga tidak mahu mengekalkan jawatan sekarang.
Justeru, beliau mencadangkan Timbalan Presiden 2 BAM ketika ini, Datuk Dr Mohamed Al-Amin Abdul Majid sebagai calon paling layak menggantikan Nadzmi.

“Al-Amin juga sudah lama dalam BAM, 15 tahun dan sudah tentu beliau layak menjadi presiden. Saya berpegang teguh pada pendapat, orang dalam BAM perlu menggalas tugas itu kerana sudah lama bersama persatuan, mempunyai pengetahuan luas serta mahir selok belok sukan ini.
“Jika ada calon luar mahu menjadi presiden, itu bukan satu kesalahan, malah Nadzmi sendiri ketika mengambil alih jawatan presiden pada 2000, bukan orang persatuan.

“Perkara penting individu terbabit mestilah mempunyai minat mendalam dalam sukan terutamanya badminton. Kalau tidak berminat, macam mana mahu jadi presiden,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau berharap presiden baru yang bakal dipilih mesti melakukan perubahan drastik dalam sistem BAM, bermula dengan rombakan Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T).

“Perkara pertama perlu dilakukan presiden baru adalah menggantikan pengerusi C&T sedia ada, selain membawa masuk beberapa muka baru dalam jawatankuasa yang menjadi jantung kepada badminton negara.” Antara nama yang disebutkan beliau yang perlu berada dalam C&T, dua legenda negara Razif Sidek dan Cheah Soon Kit.

“Mereka pemenang pingat Sukan Olimpik, BAM seharusnya berkongsi kepakaran dengan mereka untuk merencanakan program badminton negara.” Nadzmi tidak akan mempertahankan kerusi presiden dan kini bergelar Presiden Konfederasi Badminton Asia (BAC).

Selain Tengku Kamil dan Al-Amin, Pengerusi Litar Antarabangsa Sepang, Datuk Mokhzani Mahathir, Datuk Lim Teong Kiat (Bendahari BAM) dan Tengku Mahaleel Tengku Ariff serta Datuk Norza Zakaria turut dikaitkan dengan jawatan terbabit.



Oleh Mohd Hilmie Hussin, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment