Monday, July 08, 2013

Tangga kelima milik Malaysia


BARISAN pemain Malaysia seakan-akan mahu berpesta selepas berjaya membenam Jepun pada aksi penentuan tempat kelima dan keenam Liga Hoki Dunia di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru semalam.


MALAYSIA mengakhiri cabaran pada Liga Hoki Dunia di tangga kelima selepas menundukkan Jepun 4-3 menerusi penentuan pukulan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas tamat masa sebenar di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru semalam.

Kedudukan kelima itu merupakan sasaran terbaharu skuad negara selepas impian untuk mara ke separuh akhir tidak kesampaian apabila tewas kepada Jerman 0-6 pada aksi suku akhir Khamis lalu.
Begitupun, kemenangan semalam tidak hadir dengan mudah meskipun skuad bimbingan Paul Revington itu mendominasi hampir keseluruhan perlawanan.

Bagi Revington, kemenangan tersebut merupakan sesuatu yang positif buat pasukan meskipun ia bukanlah persembahan terbaik anak-anak buahnya pada kejohanan itu.

“Bukan mudah untuk menewaskan Jepun kerana mereka bermain dengan baik terutama di bahagian pertahanan. Bagaimanapun, saya tetap gembira dengan kemenangan ini,” kata Revington.
Pada aksi semalam, skuad negara bermula cemerlang apabila memperoleh gol pertama pada minit ke-10 menerusi pukulan sudut penalti Muhammad Razie Abd. Rahim.

Begitupun, Jepun menyamakan kedudukan pada minit ke-28 melalui pukulan sudut penalti Shinji Kawauchi.

Sebaik babak kedua bermula, skuad negara memiliki beberapa peluang terbaik untuk menambah jaringan, namun gagal untuk mengatasi penjaga gol lawan, Akira Morishima.

Ketika penentuan pukulan penalti, dua gandingan beradik, Faizal Saari dan Mohd. Fitri Saari selain Mohd. Shahrun Nabil Abdullah serta Muhammad Firhan Ashaari bertindak cemerlang apabila berjaya menghadiahkan gol buat negara manakala penjaga gol, S.Kumar menafikan cubaan dua pemain Jepun, Heita Yoshihara dan Kei Kawakami untuk memastikan kemenangan buat Malaysia.
Dalam perkembangan lain, masa depan Revington bersama skuad negara masih terus menjadi tanda tanya selepas jurulatih kelahiran Afrika Selatan itu memberi kata putus.

“Saya tidak mahu ulas mengenai perkara ini. Biarlah pemain meraikan kejayaan hari ini dengan tenang,” katanya.

Revington pernah menghantar surat peletakan jawatan kepada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dua minggu sebelum Liga Hoki Dunia bermula dan menarik balik keputusannya itu selepas dipujuk Presiden MHC, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Tengku Abdullah pula menyerahkan keputusan tersebut kepada Revington meskipun mengakui amat berharap agar jurulatih itu kekal bersama skuad negara.
“Kita harap dia (Revington) kekal bersama Malaysia tetapi terpulang kepada dia. Dia mempunyai sebab tersendiri,” katanya.

Mengulas mengenai prestasi skuad negara, Tengku Abdullah berharap pemain dapat memperbaiki mutu permainan yang kurang konsisten dalam usaha memburu tiket ke Piala Dunia 2014 menerusi slot Piala Asia di Ipoh bulan depan.

“Sasaran kita masih lagi untuk melayakkan diri ke Piala Dunia dan saya harap, mereka dapat memperbaiki prestasi untuk cuba menjuarai Piala Asia nanti,” katanya.

Oleh RADIAH SAORI
radiah@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment