Wednesday, July 03, 2013

SUKMA: Terengganu Pintas Wilayah Persekutuan Dalam Pungutan Pingat

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Kontinjen Terengganu mula menunjukkan taring di Sukan Malaysia (SUKMA) ke-16 apabila merampas tempat teratas carta pungutan pingat daripada kontinjen Wilayah Persekutuan dengan menambah tiga emas dan dua perak pada hari keenam temasya itu.

Terengganu kini mengumpul 10 emas, sembilan perak dan enam gangsa untuk mengatasi Wilayah Persekutuan yang memungut 10 emas, enam perak dan 11 gangsa.

Johor di tempat ketiga dengan sembilan pingat emas, tiga perak dan 13 gangsa.

Emas pertama Terengganu dikutip menerusi acara mendayung apabila Muhammad Faizzuan Mohd Pazi mengungguli acara scull perseorangan lelaki.

Dua lagi emas Terengganu masing-masing disumbang pasangan adik-beradik Muhammad Faris Abdullah/Muhammad Faiz Abdullah menerusi acara double scull (LM2X) beregu lelaki serta pasangan beregu Syed Muhammad Iskandar Putra Syed Abdul Fattah/Abdul Hadi Omar dalam acara beregu (M2) lelaki.

Sementara itu, Pahang mengungguli acara woodball apabila mengutip satu emas, satu perak dan satu gangsa di OUG Woodball Garden, Klang.

Pingat emas Pahang disumbang Muhammad Hafizan Amiruddin/Syed Muhammad Nabil Syed Khairuddin menerusi acara beregu lelaki manakala gangsa bagi acara sama diraih rakan sepasukan Ahmad Saufi Umardi@Kamarol Bahrin/Muhammad Fazril Amran.

Pingat perak Pahang disumbang Puteri Liyana Farhah Putera Nur Shah Alam/Erni Merlis Masril.

Melaka, juara bertahan polo air wanita, sekali lagi ke final bertemu Wilayah Persekutuan esok selepas mengecewakan Selangor 20-4 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil hari ini.

Skuad polo air wanita Wilayah Persekutuan pula melangkah ke perlawanan akhir selepas menewaskan Pulau Pinang 9-2.

Dalam acara bola jaring, penyandang juara Wilayah Persekutuan mara ke perlawanan akhir menentang Kedah esok selepas menewaskan Selangor 57-29.

Pemenang pingat gangsa edisi 2011, Kedah akan beraksi di perlawanan akhir selepas mengalahkan Terengganu 42-37.

Sejumlah 24 pingat emas ditawarkan esok melalui acara sofbol, woodball, mendayung, gimnastik artistik, bola jaring, renang berirama dan polo air.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment