Thursday, July 04, 2013

SUKMA: Terengganu Kuasai Hari Ketujuh SUKMA Menerusi Lima Emas Acara Mendayung

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Acara mendayung menjadi lubuk emas kontinjen Terengganu untuk memperkasakan kedudukan carta pungutan pingat apabila membolot lima emas pada hari terakhir acara itu di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-16 di sini Rabu.

Negeri yang terkenal dengan panggilan 'Terengganu Hanelang' yang bermaksud 'Terengganu Hebat' muncul juara keseluruhan acara itu di Empangan Batu, Ulu Yam., di sini dengan pungutan lapan emas dan satu perak.

Kilauan emas Terengganu dalam acara itu disumbangkan menerusi Nur Fatiha Che Yon Rosni dalam acara perseorangan wanita scull (W1X) dan double scull (LW2X) oleh gandingan Nor Shazlin Che Adnan dan Che Ku Nurul Asma' Cheku Abdullah.

Tiga lagi 'dayungan' emas negeri Pantai Timur itu disumbangkan dalam kategori berempat lightweight wanita( LW4-),, acara berpasangan wanita (W2) dan pasukan lelaki coxed eight.

Ketua jurulatih Terengganu, Mohd Shahrol Mat Saad menyifatkan pencapaian skuad mendayung negeri itu adalah atas latihan gigih atlet sejak Disember lepas.

Jurulatih itu berkata kejayaan tersebut membuktikan bahawa negeri Pantai Timur itu masih unggul selaku kuasa besar sukan mendayung walaupun muncul beberapa pesaing baharu seperti Johor dan Wilayah Persekutuan.

Pencapaian pendayung Terengganu tahun ini mengatasi catatan pingat keseluruhan yang diraih oleh mereka pada edisi 2011 di Kuala Lumpur dengan kutipan lima emas, satu perak dan dua gangsa.

Dayungan emas Terengganu itu turut membolehkan juara bertahan SUKMA itu untuk terus menerajui carta kedudukan pingat dengan pungutan 16 pingat emas, 10 perak dan lapan gangsa.

Wilayah Persekutuan yang menerajui kedudukan pingat sehingga Isnin lepas sebelum dipintas Terengganu, sehari kemudian kekal berada di tangga kedua dengan pungutan 11 emas, sembilan perak dan 16 gangsa.

Kejayaan gimnas Selangor yang mengutip dua emas masing-masing menerusi Daniel Iskandar Richard dan Farah Ann Abdul Hadi dalam acara keseluruhan individu lelaki dan wanita membolehkan juara SUKMA tujuh kali itu merampas tangga ketiga daripada Johor dengan kutipan 11 emas, enam perak dan 19 gangsa.

Sejumlah 35 pingat keseluruhan ditawarkan esok melalui acara renang berirama berpasukan, polo air lelaki, bola sepak pantai (lelaki dan wanita), kabbadi (lelaki dan wanita) serta Silambam (Thanithiramai Khas Lelaki dan Wanita).

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment