Monday, July 08, 2013

SUKMA: Penutupan Temasya SUKMA Ke-16 Berlangsung Secara Sederhana

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Selepas 11 hari saingan, tirai temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-16 dilabuhkan dalam suasana sederhana di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, Ahad malam.

Majlis penutup yang dihadiri kira-kira 5,000 atlet dan pegawai daripada 14 kontinjen yang mengambil bahagian itu disempurnakan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Dua atlet gimnastik artistik, Daniel Iskandar Richard (Selangor) dan Esmelda Arecia Menti Alfred Giling (Sarawak), masing-masing dinobatkan sebagai Atlet Lelaki Terbaik dan Atlet Wanita Terbaik, untuk membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai RM1,000 masing-masing.

Daniel Iskandar, 19, meraih tiga pingat emas dalam acara berpasukan, keseluruhan individu dan kekuda berpelana dan pingat perak dalam acara melombol dan palang tunggal.

Esmelda Arecia Menti, 13, pula meraih dua pingat emas menerusi disiplin individu dalam melombol dan titian imbangan, pingat perak dalam acara berpasukan, palang bertingkat dan senam lantai, selain pingat gangsa menerusi acara individu keseluruhan.

Pada majlis berkenaan, Khairy turut menyampaikan trofi juara keseluruhan kepada Selangor selepas kontinjen merah kuning itu meraih 23 pingat emas, 17 perak dan 30 gangsa kepada ketua kontinjennya, Dr Ahmad Yunus Hairi.

Kejayaan itu adalah yang kelapan buat Selangor selepas kali terakhir muncul juara keseluruhan pada edisi ke-11 di Kedah pada 2006.

Sebaik sahaja bendera temasya SUKMA diturunkan dan obor temasya dipadamkan, Khairy kemudian menyerahkan bendera itu kepada Menteri Besar Perlis Azlan Man.

Sebagai mengalu-alukan kedatangan atlet dan pegawai ke temasya SUKMA Perlis tahun depan, majlis diserikan dengan persembahan kebudayaan oleh Kumpulan Kebudayaan Jabatan Pelajaran Negeri Perlis.

Temasya yang pada awalnya dikhuatiri terjejas akibat keadaan jerebu yang melanda negara bulan lepas, berjalan dengan baik.

Pada edisi kali ini, MSN selaku pengelola temasya itu, menyenaraikan dua jenis sukan baharu yang dikategorikan sebagai sukan bukan pilihan iaitu muay thai dan 'woodball' selain memperkenalkan acara baharu dalam bola sepak iaitu bola sepak pantai.

Turut dipertandingkan pada edisi kali ini ialah 20 acara sukan lain iaitu akuatik (polo air dan renang berirama), bina badan, bola baling, bola jaring, bola keranjang, futsal, bola tampar (pantai dan dewan), ekuestrian, gimnastik artistik, judo, kabaddi, kriket, lawan pedang, mendayung, ping pong, ragbi, silambam dan sofbol.

Kesemua acara dilangsungkan di 18 venue di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya, Serdang, Puchong, Shah Alam dan Pantai Morib dari 28 Jun hingga 7 Julai.

Dalam ucapan penutupnya, Khairy berkata kelainan SUKMA tahun ini adalah dari segi pola taburan pingat yang tidak didominasi kontinjen tertentu seperti yang berlaku pada edisi terdahulu.

"Banyak keputusan yang membanggakan dapat dilihat pada SUKMA edisi tahun ini namun kita tidak boleh cepat berpuas hati kerana masih terdapat banyak ruang dan usaha yang perlu dilakukan secara berterusan," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment