Tuesday, July 16, 2013

Rugi jika Farkhan tiada



Kuala Lumpur: Bekas jurulatih negara Ramli Yahya menegaskan punca sebenar pengguguran Mohd Farkhan Haron perlu diperhalusi sebaik mungkin.
Menurutnya, alasan Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) yang mendakwa peninju berusia 25 tahun itu gagal memberikan komitmen sesuatu yang tidak munasabah.

“Saya sudah membimbing dia sejak di peringkat remaja iaitu kira-kira lapan tahun lalu. “Sepanjang tempoh berkenaan tiada masalah disiplin ditimbulkan Farkhan. Tidak pernah sekalipun,” katanya.
Menurut Ramli, sesuatu yang merugikan sekiranya Farkhan tidak lagi bersama skuad negara berdasarkan persembahan cemerlang dipamerkannya sejak mula mewakili negara.

“Belum pernah ada peninju negara melangkah ke tiga final Sukan SEA (satu pingat emas dan dua perak) dan dia berjaya melakukannya,” katanya.

Selain Ramli, bekas jurulatih dari Kyrgyzstan, Kalen Asanov turut bertanggungjawab mengembangkan bakat Farkhan.
Menurutnya, peninju berusia 25 tahun itu antara yang digeruni di pentas Asia Tenggara dan sepatutnya menjadi antara pemenang di kejohanan peringkat Asia, namun ia tidak berlaku.

“Perkara ini saya minta teliti. Kenapa prestasinya tidak meningkat di Asia sedangkan dia sepatutnya sudah mencapai tahap itu. Apa yang tidak kena sebenarnya. Bagi saya, ia tentu ada kena-mengena dengan sistem latihan,” katanya.

Skuad kebangsaan kini dikendalikan jurulatih dari Thailand, Prasit Tungjai sejak tiga tahun lalu.


Oleh Azlan Muhammad Zain, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment