Tuesday, July 16, 2013

Rajagobal izin Piya balik kampung


RAJAGOBAL kini dalam persiapan membentuk skuad yang mantap bagi menghadapi beberapa aksi persahabatan dan kempen kelayakan Piala Asia 2015.


KETUA jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal telah memberi kebenaran kepada kapten Kelantan, Mohd. Badhri Radzi untuk pulang meneruskan rawatan terhadap kecederaannya di Kota Bharu, Kelantan.

Rajagobal memberitahu, beliau tidak akan menyenaraikan Badhri atau Piya untuk menjalani latihan di Jepun bermula 25 hingga 31 Julai ini.

Ini kerana pemain berusia 31 tahun itu mengalamai kecederaan hamstring sehingga memaksa dia berehat sekurang-kurang tiga minggu.

"Kami mengambil keputusan dengan membenarkan Piya menjalani rawatan di Kota Bharu di bawah pengawasan doktor yang pernah merawatnya sebelum ini.

"Pihak fisioterapi telah mengesahkan Piya mengalami kecederaan hamstring dan dia memerlukan rehat selama tiga minggu untuk pulih.

"Jadi saya telah membenarkan Piya pulang ke Kelantan. Saya tidak boleh mengambil sebarang risiko dengan membawanya menjalani latihan di Jepun bermula 25 Julai depan," kata Rajagobal kepada pemberita pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Sementara itu, Rajagobal berharap aksi persahabatan menentang kelab Thailand, Chonburi FC bakal dimanfaatkan sepenuhnya oleh barisan pemain Harimau Malaya.

Beliau mahu skuad kendaliannya mencari rentak terbaik sebelum melayani kunjungan Chelsea di Stadium Shah Alam pada 21 Julai nanti.

Untuk rekod, Chonburi FC memiliki enam pemain kebangsaan Thailand iaitu Sinthaweechai Hathairattanakool, Adul Lahso, Anucha Kitpongsri, Natthaphong Samana, Jetsadakorn Hemdaeng dan Arthit Sunthornpit.

"Chonburi FC merupakan pasukan yang cukup kuat. Mereka memiliki ramai pemain kebangsaan Thailand.

"Sudah tentu mereka ghairah untuk menewaskan pasukan bertaraf kebangsaan dan mereka akan memberikan saingan sengit kepada kami.

"Jadi, saya mahu para pemain memberikan aksi terbaik malam esok (hari ini) dan ia adalah persiapan terbaik sebelum menentang Chelsea nanti," katanya.

No comments:

Post a Comment