Friday, July 05, 2013

Punah harapan

BARISAN pemain Jerman meraikan kejayaan membenam Malaysia 6-0 pada perlawanan suku akhir Liga Hoki Dunia di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru semalam.


IMPIAN Malaysia untuk melayakkan diri ke Piala Dunia 2014 menerusi ‘tiket’ Liga Hoki Dunia tidak kesampaian.

Pada aksi suku akhir di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru semalam, Malaysia terpaksa akur dengan kehebatan pasukan No. 1 dunia, Jerman apabila tewas 0-6.
Dengan kekalahan itu, hasrat Malaysia untuk menduduki kelompok tiga terbaik pada kejohanan tersebut, sekali gus layak secara automatik beraksi pada Piala Dunia 2014 di The Hague, Belanda musnah.

Kini Malaysia perlu menunggu sehingga kempen Piala Asia di Ipoh Ogos depan bagi mencongak peluang terakhir memburu tiket Piala Dunia 2014.

Bagaimanapun, ia bukan satu tugas mudah kerana skuad kendalian Paul Revington itu harus muncul juara Piala Asia bagi mengesahkan slot ke Belanda.

Pada aksi semalam, Jerman menguasai hampir keseluruhan permainan sementara Malaysia kelihatan lemah terutama di bahagian pertahanan.

Akibatnya, gawang Malaysia dibolosi enam gol sepanjang babak pertama.
Christopher Zeller meledak gol pembukaan Jerman menerusi pukulan sudut penalti seawal minit kelima.

Linus Butt menghadiahkan gol kedua Jerman, juga menerusi pukulan sudut penalti pada minit kelapan sebelum Mopritz Polk menambah gol ketiga hasil jaringan padang berselang dua minit kemudian.

Jerman terus berpesta gol apabila menambah tiga lagi jaringan dalam tempoh enam minit melalui Zeller pada minit ke-12 serta dua jaringan padang oleh Moritz Furste (16) dan Thilo Stralkowski (18).

Sebaik babak kedua bermula, permainan Malaysia tampak lebih baik, namun belum mampu memperoleh gol sehingga wisel penamat dibunyikan.



Oleh RADIAH SAORI
radiah@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment