Monday, July 15, 2013

Piya kemuka surat tunjuk sebab

BADHRI (kiri) bersama penolong pengurus Kelantan, Wan Badri Wan Omar (kanan) memeriksa surat tunjuk sebab dan laporan perubatan sebelum berlepas ke Kuala Lumpur di LTSIP, Pengkalan Chepa di Kota Bharu semalam.


KAPTEN Kelantan, Mohd. Badhri Radzi tidak mahu kegagalannya melaporkan diri ke kem latihan skuad Harimau Malaya sejak Khamis lalu disalaherti oleh mana-mana pihak.

Bagi mengelakkan sebarang salah faham, Badhri atau lebih senang disapa Piya mengambil keputusan untuk melaporkan diri bagi mengikut kem latihan Harimau Malaya semalam.

Piya turut membawa surat tunjuk sebab serta laporan perubatan sebagaimana yang dikehendaki Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Menurut Piya, surat tunjuk sebab serta laporan perubatan berkenaan akan diserahkan kepada FAM sebaik dia melaporkan diri ke kem latihan tersebut.

"Saya akui wujud sedikit salah faham dalam isu ini. Kegagalan melaporkan diri ke kem latihan, bukan bermakna saya ingkar kepada jurulatih (Datuk K. Rajagobal) dan pasukan.

"Saya berharap FAM dapat menerima surat tunjuk sebab serta laporan perubatan dan membuat keputusan seadilnya berhubung isu ini," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengakalan Chepa di Kota Bharu semalam.

Piya berharap keputusannya untuk melaporkan diri ke kem latihan semalam mampu menepis segala tohmahan yang mengatakan dia enggan menabur bakti bersama skuad Harimau Malaya.

Kosmo! semalam melaporkan Piya bersedia menjawab surat tunjuk sebab yang dikemukakan FAM berhubung kegagalannya melaporkan diri pada sesi latihan Harimau Malaya yang bermula Khamis lalu.

Piya berkata, dia akan mengemukakan laporan pemeriksaan kesihatan yang dibuat oleh doktor di Kota Bharu, Kelantan sehari selepas berakhirnya saingan Liga Super menentang Lions XII pada 6 Julai lalu.

Ditanya sama ada dia bersedia menggalas tugas untuk mengemudi jentera tengah skuad negara, perancang tengah Kelantan itu memberitahu: "Saya bersedia dengan tugas tersebut dan berjanji memberikan aksi terbaik bersama Harimau Malaya.

"Jikalau ada peluang memimpin jentera tengah negara, saya bertekad memberikan aksi terbaik bagi membalas kepercayaan yang diberikan oleh jurulatih.

"Bagaimanapun, semua itu terpulang kepada jurulatih. Saya selaku pemain yang memberikan aksi terbaik sekiranya diberikan peluang," kata Piya.

Piya antara tujuh pemain Kelantan termasuk Khairul Fahmi Che Mat, Nik Mohd. Shahrul Azim Ab Halim, Azizi Mat Rose, Mohd. Shakir Shaari, Mohd. Norfarhan Muhammad dan Ahmad Fakri Saarani yang dipanggil menjalani kem latihan Harimau Malaya.

Oleh YATIMIN ABDULLAH
sukan@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment