Thursday, July 18, 2013

Perangi tiket palsu

Kuala Lumpur: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedia memerangi sindiket tiket palsu apabila mengarahkan Jawatankuasa Integriti supaya membentuk kerjasama dengan pihak polis bagi memastikan masalah itu dibanteras segera.

Timbalan Presidennya Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, FAM tidak boleh bertindak sendirian dalam menangani isu itu memandangkan masalah tiket palsu ini adalah salah satu kes jenayah.

“Tiket palsu ini satu kes jenayah dan kita tak boleh membanteras dengan sewenang-wenangnya. Saya harap tiada pihak yang ambil untung daripada jualan tiket ini.

“Kita telah mengarahkan Jawatankuasa Integriti untuk bekerjasama dengan pihak polis untuk mengatasi masalah ini jadi kita akan pantau dari masa ke semasa,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM ke-8 semalam.

Isu tiket palsu ditimbulkan oleh Arena Metro semalam apabila seorang penonton mendedahkan memiliki tiket palsu final Piala FA antara Kelantan dengan Johor Darul Takzim (DT) pada 29 Jun lalu.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Faris Al-Ghazi memperoleh tiket itu daripada salah seorang penonton yang mendakwa membeli dengan harga RM45 daripada seorang individu di Danau Kota, Kuala Lumpur.

FotoTENGKU Abdullah (tengah) menjawab soalan wartawan di Hotel Royale Chulan, semalam.

Penjualan tiket palsu itu dipercayai menjadi punca insiden limpahan penonton final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Faris juga mendakwa sistem kawalan yang longgar tanpa alat pengimbas mengesan tiket di pintu masuk juga memudahkan penonton yang memiliki tiket palsu terlepas.
Tengku Abdullah tampil memberi jaminan bahawa kawalan di pintu masuk akan diperketatkan bukan saja untuk memastikan tiada bahan larangan dibawa masuk penonton , juga mengesan tiket palsu.

“Saya berharap mereka yang mempunyai maklumat tiket palsu ini supaya tampil memberikan maklumat kepada pihak polis atau FAM.

“Selepas ini bagi aksi final, kita akan memperkenalkan sistem baru iaitu menggunakan dua tempat pemeriksaan di laluan masuk ke stadium,” katanya.

Turut dibincangkan pada mesyuarat itu yang dipengerusikan Sultan Ahmad Shah adalah cadangan pembahagian tiket final kepada dua finalis berikutan timbul masalah kegagalan penyokong mendapat tiket final Piala FA.

“Masalah tiket ini timbul apabila sampai ke peringkat negeri (persatuan), jualan tiket tidak seperti yang diharapkan. “Selepas ini kita akan buat pembahagian iaitu menyerahkan tiket kepada persatuan negeri dan menjual secara terus kepada penyokong negeri atau kelab masing-masing.

“Kita nak pembahagian tiket yang adil kerana kita dapati persatuan negeri menjual secara pukal dan ini menyukarkan peminat mendapat tiket,” tegas Abdullah.

Dalam perkembangan lain, FAM turut bersetuju menangguhkan sepak mula kempen Piala Malaysia pada 17 Ogos ini kepada 20 Ogos memandangkan Kelantan dan ATM beraksi dalam perlawanan Kejuaraan FAM dan FAS pada 12 hingga 13 Ogos depan menentang Tampines Rovers dan Warriors FC.



Oleh Aziman Rosdi, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment