Wednesday, July 17, 2013

Negara ramai pelapis badminton

Kuala Lumpur: Kejayaan pemain badminton remaja negara, Soo Teck Zhi muncul juara Kejohanan Badminton Remaja Asia Bawah-19 di Kota Kinabalu semalam membuktikan Malaysia masih mampu melahirkan bakat baru sukan itu, kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong.
“Kejayaannya membuktikan Malaysia masih berupaya melahirkan satu lagi bintang badminton negara. Teck Zhi mempunyai masa depan cerah, tapi banyak perlu dipertingkatkan terutama dalam usianya yang masih muda itu.

“Dia mempunyai banyak kelebihan khususnya dari segi fizikal yang baik, kepantasan dan stamina. Inilah ciri-ciri diperlukan untuk menjadi pemain badminton perseorangan yang baik pada masa depan,” kata Zolkples ketika diminta mengulas kejayaan pemain berusia 18 tahun itu.
Zolkples ditemui pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani perjanjian penajaan antara Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) dan pengeluar barangan sukan Li-Ning selaku pembekal pakaian sukan rasmi skuad bola keranjang kebangsaan.

Penajaan dalam bentuk barangan sukan selama setahun itu bernilai RM270,000.

“Kini sudah tiba masanya BAM (Persatuan Badminton Malaysia) memikirkan program bersesuaian buat Teck Zhi bagi mengekalkan prestasi baiknya itu. Bagi saya pendedahan kepada banyak kejohanan (dalam dan luar negara) antara usaha baik khususnya persiapan bagi menghadapi saingan besar di peringkat antarabangsa pada masa akan datang,” katanya.
Menurut Zolkples, kejayaan itu akan membuka mata BAM untuk menghasilkan lebih ramai pemain berbakat dengan menyediakan program secara berterusan.


- BERNAMA

No comments:

Post a Comment