Tuesday, July 02, 2013

MSN keluarkan amaran keras

MAJLIS Sukan Negara (MSN) memberi amaran kepada atlet-atlet Sukan Malaysia Kuala Lumpur 2013 agar mematuhi peraturan dan tidak menerima elaun daripada dua kontinjen yang berbeza.
Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong berkata, atlet yang cuba untuk melakukan perkara sedemikian akan disenaraihitamkan daripada beraksi pada temasya tersebut.

Terdahulu, MSN telah menggugurkan seorang atlet lawan pedang yang didaftarkan dengan kontinjen Negeri Sembilan dan Terengganu dua minggu sebelum bermulanya Sukma 2013 pada 27 Julai lepas.
"Sebenarnya perkara ini sudah lama berlaku, tetapi MSN boleh menyelesaikannya selepas berbincang dengan setiap kontinjen.

"Begitupun dalam kes atlet ini, memang sukar untuk diselesaikan. Dia telah menerima elaun daripada kedua-dua negeri jadi saya tidak boleh beri muka selain mengharamkan dia beraksi pada Sukma kali ini.

"Jika dia masih cukup umur dan mahu beraksi pada Sukma akan datang, kami tidak akan menghalang," kata Zolkples ketika mengadakan lawatan bersama Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di venue Sukma 2013 di Bukit Jalil semalam.

Mengulas lanjut, Zolkples menjelaskan masalah-masalah seperti itu telah diselesaikan ketika MSN melakukan Mesyuarat Pendaftaran Delegasi (DRM).

"Perkara seperti ini sepatutnya sudah tidak timbul kerana sebelum kami memulakan Sukma 2013 kami telah periksa (pendaftaran) setiap atlet ketika DRM.

"Sebenarnya dengan menggunakan nombor kad pengenalan, kami sudah boleh mengesan atlet yang didaftarkan oleh dua kontinjen yang berbeza," ujar Zolkples.

KOSMO

No comments:

Post a Comment