Thursday, July 18, 2013

Mohd Fadhli Janji Beri Aksi Terbaik Menentang Chelsea Ahad Ini


KAZAN, (Rusia) 17 Julai (Bernama) -- Pemain pertahanan Harimau Muda A Mohamad Fadhli Mohd Shas optimis akan mempamerkan aksi cemerlang pada perlawanan berdepan kelab Liga Premier Inggeris Chelsea FC, Ahad ini.

Mohamad Fadhli berkata beliau berjanji tidak akan mempersia-siakan peluang yang diberikan jurulatih Harimau Malaya Datuk K.Rajagobal pada perlawanan persahabatan yang akan berlangsung di Stadium Shah Alam.

"Saya akan menggunakan pengalaman empat bulan berlatih di Slovakia untuk membuktikan kemampuan saya kepada jurulatih (Rajagobal).

"Pengalaman beraksi di Universiade (Sukan Universiti Dunia) di sini juga akan digunakan untuk memantapkan prestasi saya untuk menentang Chelsea nanti," katanya kepada pemberita.

Mohamad Fadhli berkata pasukan Harimau Muda mendapat pengalaman dan pendedahan berguna sepanjang perlawanan pada temasya Universiade ke-27 bagi menghadapi Sukan SEA, Myanmar pada Disember depan.

"Apa yang pasukan belajar di sini adalah dari segi kekuatan mental dalam menghadapi perlawanan yang sengit. Kami perlu fokus dalam perlawanan walaupun skuad diberi pelbagai tekanan ketika di atas padang," katanya.

Turut dipanggil Rajagobal ialah K.Reuben dalam perlawanan menentang Chelsea. Kedua-dua pemain itu akan pulang ke Kuala Lumpur hari ini.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment