Tuesday, July 02, 2013

Malaysia Sia-siakan Peluang Emas Untuk Ungguli Pakistan

JOHOR BAHARU, 30 Jun (Bernama) -- Malaysia memulakan kempen memburu tiket ke Piala Dunia 2014 dengan berkongsi mata apabila mencatatkan keputusan seri 4-4 menentang Pakistan pada pusingan separuh akhir Kejohanan Liga Hoki Dunia di Stadium Hoki Taman Daya di sini Sabtu malam.

Malaysia di bawah bimbingan Paul Revington gagal menggunakan kesempatan mendahului 3-1 pada separuh masa untuk tunduk kepada asakan bertali arus oleh Pakistan pada babak kedua perlawanan.

Malaysia memulakan permainan dengan cemerlang serta melakukan kejutan seawal minit ketiga menerusi jaringan Muhammad Razie Abd Rahim, hasil pukulan sudut penalti.

Gol pembukaan tersebut telah mencetuskan semangat pemain untuk memburu jaringan dan selang empat minit kemudian, Muhammad Razie sekali bertindak cemerlang dengan jaringan kedua dengan menewaskan penjaga gol Pakistan Imran Shah.

Selepas ketinggalan 2-0, Pakistan kelihatan tertekan lalu melakukan beberapa pertukaran pemain tetapi keadaan tidak banyak berubah apabila Muhammad Marhan Mohd Jalil menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-18.

Bagaimanapun, pertukaran posisi pemain mula menampakkan hasil untuk Pakistan apabila Abdul Khasem Khan merapatkan jurang jaringan pada minit ke-26.

Sebaik babak kedua bermula, kebangkitan Pakistan mula terserlah apabila memberi tekanan kepada Malaysia menerusi asakan dari pelbagai sudut.

Di sebalik gerakan berbisa pasukan lawan, Malaysia berjaya mencuri tumpuan buat seketika apabila melakukan jaringan keempat menerusi Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil pada minit ke-38.

Kedudukan selesa dan kealpaan pasukan kebangsaan membawa padah apabila Pakistan melakukan jaringan pada minit ke-42 menerusi Muhammad Tousiq, minit ke-56 oleh Shakeel Abbasi dan kapten pasukan Muhammad Imran pada minit ke-61.

Jurulatih negara Revington ternyata kecewa apabila anak buahnya terlalu yakin dengan kedudukan selesa separuh masa sehingga memberi ruang kepada lawan untuk bangkit semula.

Sementara itu, tiga lagi perlawanan turut menyaksikan keputusan seri dengan Jerman dan Argentina 1-1, Korea Selatan dan Jepun 3-3 manakala England dan Afrika Selatan juga mencatatkan keputusan seri 3-3.

JADUAL PERLAWANAN AHAD:

Argentina mln Jepun - 3 petang

Korea Selatan mln Jerman - 5 petang

Pakistan mln England - 7 malam

Afrika Selatan mln MALAYSIA - 9 malam.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment