Tuesday, July 02, 2013

Malaysia Benam Afrika Selatan 6-4

JOHOR BAHARU, 30 Jun (Bernama) -- Malaysia mencipta kemenangan pertama dalam saingan separuh akhir Liga Hoki Dunia apabila mengalahkan Afrika Selatan 6-4 pada perlawanan Kumpulan B di Stadium Hoki Taman Daya di sini malam Ahad.

Selepas seri 4-4 dengan Pakistan pada perlawanan pertama semalam, Malaysia turun dengan semangat kental untuk memburu mata penuh dalam misi memburu tiket ke Piala Dunia 2014.

Anak buah Paul Revington nyata melupakan kekecewaan dan bermula garang dengan mengasak Afrika Selatan sebelum Faizal Shaari menghasilkan gol pertama pada minit ke-10.

Lima minit kemudian Muhammad Razie Abdul Rahim menewaskan penjaga gol Eramus Pieterse untuk menambah gol kedua Malaysia.

Terkejut dengan gerakan Malaysia, Afrika Selatan, yang menduduki ranking ke-12 dunia, bangkit dengan dua percubaan pukulan sudut penalti tetapi penjaga gol kebangsaan Roslan Jamaluddin bertindak cemerlang untuk menangkis bola.

Bagaimanapun, Afrika Selatan berjaya membolosi gawang negara menerusi jaringan Jethro Eustice pada minit ke-26 sebelum perlawanan berhenti rehat.

Pada babak kedua, Afrika Selatan mula memberi tekanan dengan mengatur serangan kemas sehingga membuahkan hasil apabila menyamakan kedudukan 2-2 menerusi jaringan Wade Paton pada minit ke-37.

Namun, Malaysia enggan mengulangi kesilapan semasa menentang Pakistan lalu bingkas bangun untuk melakukan serangan balas dengan Muhammad Razie meletakkan Malaysia di hadapan dengan jaringan minit ke-46.

Faizal sekali lagi meletakkan namanya dalam senarai penjaring apabila melakukan pukulan deras pada minit ke-54.

Afrika Selatan, yang seri 3-3 dengan England semalam, mula tertekan dengan jaringan Faizal sebelum merapatkan jurang jaringan menerusi Miguel Da Grace pada minit ke-56.

Malaysia menguasai kedudukan dengan jaringan Mohd Fitri Saari pada minit ke-58 dan Muhammad Marhan Mohd Jalil pada minit ke-63 sebelum Afrika Selatan membalas gol terakhir dua minit kemudian menerusi Timothy Drummond.

Malaysia, yang menduduki ranking ke-13 dunia, akan berdepan dengan England pada Selasa ini manakala Afrika Selatan menentang Pakistan pada hari yang sama.

Sementara itu, Revington, jurulatih kelahiran Afrika Selatan, melahirkan rasa gembira dengan corak asakan anak buahnya sejak awal perlawanan.

Beliau berkata perlawanan persahabatan dengan lawannya minggu lepas juga telah memberi sedikit idea mengenai rentak pasukan itu.

Malaysia kini menduduki tangga teratas kumpulan dengan empat mata manakala Afrika Selatan tercorot dengan satu mata.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B, Pakistan dan England mencatatkan keputusan seri 2-2, iaitu dua keputusan seri berturut-turut bagi kedua-dua pasukan itu.

Dalam saingan Kumpulan A, Argentina membelasah Jepun 7-1 manakala pasukan nombor satu dunia, Jerman, pula mengalahkan Jepun 5-0.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment