Tuesday, July 09, 2013

Kejayaan yang membanggakan



BARISAN pemain dan pegawai skuad bola jaring remaja negara bergambar kenangan sebaik tiba di KLIA, Sepang semalam.



KEJAYAAN Malaysia menjuarai Kejohanan Bola Jaring Remaja Asia 2013 di Brunei kelmarin dianggap satu pencapaian yang amat membanggakan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan berkata, kejayaan itu tidak mungkin dicapai jika tiada usaha keras daripada semua pihak terutama pemain, jurulatih serta Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM).

"Saya ingin merakamkan tahniah kepada para pemain, jurulatih serta semua pihak yang terlibat dengan pasukan negara.

"Saya sangat berbangga dengan pasukan bola jaring negara kerana mereka berjaya mencatat kejuaraan buat kali kelima berturut-turut.

"Saya percaya, kejayaan ini adalah hasil usaha keras semua pihak terlibat dan saya berharap ia boleh menjadi contoh terbaik buat pasukan-pasukan lain dalam memburu kejayaan untuk negara," katanya.
Saravanan berkata demikian ketika menyambut ketibaan skuad bola jaring remaja negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang semalam.

Turut hadir, Naib Presiden PBJM, Datin Seri Shamsiah Yassin.
"Pada pandangan saya, kejayaan pasukan ini perlu diberi insentif sewajarnya tetapi itu semua atas kuasa Menteri (Khairy Jamaluddin).

"Saya juga mahu memberi jaminan bahawa pihak kementerian serta MSN (Majlis Sukan Negara) akan memberi lebih perhatian kepada acara bola jaring selepas ini."

Sementara itu, jurulatih skuad negara, Choo Koo Lee berkata, beliau berasa sangat gembira serta berbangga atas kejayaan anak-anak buahnya yang mencapai sasaran untuk mengekalkan kejuaraan.
"Pada kejohanan kali ini, mereka turun ke Brunei dengan penuh keyakinan dan akhirnya mencapai kejuaraan selepas mengalahkan Sri Lanka 59-50 pada aksi final.

"Selepas ini, kami akan bersiap sedia untuk menghadapi Terbuka Asia di Singapura tahun depan dan kejohanan itu sangat penting bagi kami kerana ia menyediakan tiket secara automatik ke Kejohanan Dunia 2015 di Sydney," kata Koo Lee.

Sebelum ini, Malaysia telah menjuarai kejohanan yang sama pada edisi 2004, 2006, 2008 dan 2010.
Dalam pada itu, kapten, Nurshamilia Md. Shamsudin, 21, berkata, dia sangat berbangga atas kejayaan pasukannya yang mencatat kejayaan buat kali kelima.

"Walaupun pada perlawanan akhir kami agak gementar ketika bertemu Sri Lanka, tetapi berkat kerjasama berpasukan serta taktikal berkesan oleh jurulatih, kami berjaya juga menewaskan Sri Lanka," kata Nurshamilia




Oleh NOR AZIRAN YUNUS
aziran.yunus@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment