Wednesday, July 03, 2013

J1M 2013 beri isyarat positif


DARI kiri, Zamri, Sea Keong dan Harrif tampil cemerlang apabila menguasai kesemua lima jersi yang dipertandingkan pada J1M 2013, Ahad lalu.


BANYAK pengajaran yang diperoleh barisan pelumba negara sebaik Kejohanan Lumba Basikal Jelajah 1 Malaysia (J1M) 2013 menutup tirainya pada Ahad lalu.

Di sebalik kejayaan pelumba tempatan mendominasi kesemua jersi yang dipertandingkan, J1M 2013 membuktikan bahawa pelumba Filipina sememangnya kuat di peringkat pendakian, sekali gus menjadi ancaman utama kepada Malaysia pada temasya dwi-tahunan Sukan SEA 2013 di Naypyitaw, Myanmar hujung tahun ini.

Pada edisi ke-50 jelajah tertua di negara ini, anak jati Kelantan, Loh Sea Keong, 27, yang mewakili pasukan benua, OCBC Singapore Continental Cycling Team melakar sejarah tersendiri apabila menjadi pelumba kebangsaan pertama muncul juara keseluruhan, sekali gus menyarung Jersi Kuning.
Sejak perlumbaan sulung diadakan di Kuala Lumpur pada 1963, ini kali pertama semua jersi utama iaitu Jersi Hijau (Raja Pecut), Jersi Merah (Raja Bukit), Jersi Biru (Pelumba Terbaik Asia) dan Jersi Putih (Pelumba Terbaik Malaysia) didominasi sepenuhnya oleh anak-anak tempatan.

Selain Sea Keong yang menyarung Jersi Kuning, Biru dan Putih, pasangan adik-beradik, Mohd. Harrif dan Mohd. Zamri Salleh masing-masing dinobatkan selaku Raja Pecut dan Raja Bukit.
Namun, apakah harga yang perlu dibayar oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) di sebalik segenap kejayaan itu?

Siri kejayaan itu tidak disulami dengan kecemerlangan pasukan kebangsaan Malaysia yang gagal dalam perebutan bagi kategori Pasukan Terbaik Malaysia apabila tewas kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dengan hanya bersandarkan dua pelumba tonggak iaitu Mohd. Adiq Husainie Othman dan Muhammad Rauf Nur Misbah, skuad bimbingan Aminuddin Sulaiman itu tercari-cari siapakah pelumba ketiga yang bakal menentukan nasib pasukan.

Kombinasi ‘caca merba’ seperti Ahmad Farhan Fahmi Ahmad Fuat dan pelumba basikal bukit (MTB), Shahrin Amir, pelumba yang kali pertama didedahkan dalam kancah perlumbaan antarabangsa, Muhd. Nasrullah Ismanizam selain pemecut yang kurang menjadi, Ahmad Fakrullah Alias jelas menggarap skrip malap buat pasukan kebangsaan Malaysia.

Seharusnya, mesyuarat Exco PKBM yang akan diadakan di Kuala Lumpur hari ini membincangkan permasalahan ini, sekali gus memutuskan satu dasar tegas dalam menangani kedudukan pelumba seperti Mohd. Fauzan Ahmad Lutfi, Mohd. Nor Rizuan Zainal atau Adiq.

Pelumba kebangsaan sewajarnya menabur bakti untuk Malaysia pada kejohanan bertaraf antarabangsa dan hanya boleh dilepaskan untuk mewakili ‘majikan masing-masing’ seperti PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada kejohanan bertaraf kebangsaan seperti Grand Prix Kebangsaan (GP Kebangsaan), Piala Gabenor Melaka (MGC) atau Terbuka Perlis.

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd. Wahab berjanji akan mengutarakan permasalahan tersebut pada mesyuarat itu nanti.

“Sebenarnya perkara ini sudah pun diputuskan beberapa kali sebelum ini. Memang ada satu perjanjian bahawa pelumba kebangsaan harus berkayuh untuk Malaysia pada kejohanan besar seperti Jelajah Malaysia. Namun, kami memberi kelonggaran rentetan permintaan daripada persatuan negeri.
“Bagaimanapun, kekalahan pasukan kebangsaan kepada PDRM jelas membuka kembali ruang perdebatan mengenai perkara ini. Saya akan bawa perkara ini ke mesyuarat Exco pada Rabu ini untuk dikupas, dibincang seterusnya diputuskan satu keputusan tegas,” kata Abu Samah.

Pada masa yang sama, J1M 2013 menyerlahkan satu senario menarik apabila pelumba muda yang ditampilkan Majlis Sukan Negara (MSN), pasukan negeri iaitu Negeri Sembilan dan Terengganu mampu untuk menyaingi kayuhan kelab benua Asia seperti Matrix Powertag, LBC-MVPSF Cycling Pilipinas, Team 7 Eleven Presented By Roadbike Philippines, Customs Cycling Club, CCN Cycling Team dan Team Putra Perjuangan Bandung Indonesia meskipun laluan J1M 2013 sebanyak lima peringkat itu tidak menghidangkan laluan berbukit yang mencabar.

Malah, masa keseluruhan MSN, Negeri Sembilan dan Terengganu membuktikan mereka bukan ‘budak belasahan’ kepada pasukan kelab benua luar negara iaitu Synergy Baku Cycling Project Team, Huon Salmon-Genesys Wealth Advisershgp dan Polygon Sweet Nice Team.

Pada masa yang sama, Abu Samah mengakui, pelumba Filipina bakal menjadi ancaman utama kepada Malaysia pada temasya dwi-tahunan Sukan SEA 2013 di Naypyitaw, Myanmar hujung tahun ini.

Mulai sekarang, pihak pengurusan pasukan kebangsaan perlu mengeluarkan jemputan dan memastikan semua pelumba khususnya pakar pendakian termasuk dari TSG menyertai Kejohanan Pemilihan Khas Sukan SEA 2013 yang bakal diadakan di Cameron Highlands pada 5 Oktober depan.
Sebenarnya pelumba profesional benua dan benua seperti Adiq, Mohd. Shahrul Mat Amin, Amir Mustafa Rusli dan Anuar Manan perlu berasa bangga untuk mewakili pasukan kebangsaan kerana semangat tersebut dimiliki sepenuhnya oleh nama besar dunia khususnya Mark Cavendish, Cadel Evans, Alberto Contador atau Chris Froome.

Namun, nasib Anuar iaitu pemenang Jersi Hijau pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010 masih kabur kerana pemecut dari Synergy Baku Cycling Project Team itu dilaporkan akan menjalani pembedahan pada minggu depan.

Setidak-tidaknya Anuar sudah pun menunjukkan reaksi positif apabila mendesak Aminuddin untuk menyenaraikan namanya dalam sebarang acara elit lelaki pada Sukan SEA 2013 di Myanmar bagi membuktikan dia turut memiliki jiwa patriotik sayangkan Malaysia.

Namun bagi Aminuddin, J1M 2013 memberikan satu ruang lingkup yang cukup besar dalam penyediaan data bagi memilih pelumba bakal ditampilkan di Sukan SEA 2013.

Oleh NORZASRUDIN MOHAMED NOR
norzasrudin@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment