Wednesday, July 17, 2013

Harimau Malaya Seri 0-0 Dengan Chonburi FC

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Skuad Harimau Malaya mempamerkan aksi hambar dan hanya mampu mencatat keputusan seri tanpa jaringan ketika menentang pasukan Liga Perdana Thailand, Chonburi FC pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini Selasa malam.

Anak didik Datuk K. Rajagobal itu gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila melepaskan beberapa cubaan yang tersasar.

Pemain tengah Mohd Nor farhan Muhammad mempunyai peluang terbaik untuk merobek gawang pelawat pada minit ke-19 namun sepak deras yang dilakukannya berjaya didakap kemas oleh penjaga gol Chonburi FC, Panupong Pijittham.

Dua percubaan turut dilakukan oleh penyerang negara Mohd Amri Yahya pada minit ke-25 dan 27 sebelum separuh masa pertama berakhir.

Bersambung babak kedua, Rajagobal melakukan perubahan dari segi formasi pemain dengan memasukkan beberapa pemain di bahagian tengah dan hadapan seperti Nazmi Fais Mansor dan Mohd Safee Sali namun strategi itu tetap gagal mencipta gol.

Percubaan Amridzwan Taj Tajudin pada minit ke-71 paling hampir membuahkan gol untuk Harimau Malaya apabila sepak derasnya sedikit sahaja melewati pintu gawang Chonburi FC.

Kedudukan 0-0 kekal ketika pengadil perlawanan, Mohd Nafeez Abdul Wahad meniupkan wisel penamat.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment