Wednesday, July 10, 2013

Hanya Dua Kelab Bola Sepak Daripada Setiap Anggota Gabungan AFF Boleh Sertai ASL - Azzuddin

PETALING JAYA, 9 Julai (Bernama) -- Anggota gabungan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) yang berminat menyertai Liga Super Asean (ASL) yang bakal diadakan pada 2015 hanya boleh menamakan maksimum dua kelab dari negara masing-masing.

Setiausaha Agung AFF Datuk Azzuddin Ahmad berkata dua kelab yang dinamakan itu pula perlu mendapat kelulusan daripada anggota majlis AFF sebelum layak menyertai liga berkenaan yang bakal diadakan secara liga selama lapan bulan.

"Penganjuran ASL pada 2015 telah mendapat kelulusan ahli majlis AFF cuma kita hanya memerlukan sokongan padu daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk memastikan ia dapat dijalankan sebagaimana yang dirancangkan," katanya.

Azzuddin berkata demikian kepada pemberita pada majlis meraikan perpisahannya selaku bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini Selasa.

Katanya cadangan mengenai penubuhan liga bola sepak yang melibatkan negara Asean itu diputuskan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Asean (AMM) ke-44 di Bali, Indonesia pada 2011.

"Liga berkenaan hanya menawarkan hadiah wang tunai namun kita tidak menolak kemungkinan untuk mengusulkan kepada AFC supaya pasukan terbaik ASL nanti diberikan slot beraksi dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL)," katanya.

Mengenai bidaan negara Asean untuk menganjurkan Piala Dunia 2034, Azzuddin yang telah memulakan tugas baharunya sejak beberapa hari lepas, berkata sebuah jawatankuasa Ad-Hoc untuk membincangkan bidaan itu telah ditubuhkan dan diketuai Presiden FAM Sultan Ahmad Shah.

"Bagaimanapun terdapat beberapa perkara yang perlu dibahaskan seperti jumlah tuan rumah kerana ada ahli gabungan AFF yang mahu empat negara menganjurkan Piala Dunia 2034 dan ada yang mahu dua negara sahaja yang menjadi tuan rumah," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Azzuddin berkata badan induk bola sepak negara Asean itu akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 25 Ogos ini untuk membincangkan kemasukan Australia sebagai ahli baharu AFF.

"Mereka (Australia) bagaimanapun meletakkan syarat tidak mahu menyertai Kejohanan Bola Sepak AFF Suzuki yang diadakan setiap dua tahun sekali sebaliknya mahu menyertai kejohanan lain yang dianjurkan oleh AFF seperti Kejohanan Peringkat Umur dan futsal.

"Bagi saya, penyertaan Australia ke dalam AFF bukanlah satu ancaman kepada ahli gabungan AFF sebaliknya kehadiran mereka bakal memeriahkan lagi bola sepak di rantau Asean," katanya.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment