Wednesday, July 17, 2013

Cadangan Zolkples perlu dikaji dahulu


Kuantan: “Ia perlu dikaji terlebih dulu dan seelok-eloknya bawa cadangan itu dalam satu forum bagi membolehkan kita berbincang dengan semua pihak sebelum merumuskan satu cadangan yang baik,” kata Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong pada Ahad lalu yang menyatakan FAM perlu menyerahkan tugas penganjuran liga tempatan kepada pihak swasta supaya Liga Malaysia (Liga M) bertukar menjadi liga profesional sepenuhnya.

Tengku Abdullah berkata, kajian terperinci perlu dilakukan terutama membabitkan implikasi perundangan sebelum Liga M bertukar menjadi liga profesional sepenuhnya menjadi kenyataan.
Beliau mahu semua pihak berkaitan memberi pandangan dan cadangan supaya wujud satu pengurusan yang lebih cekap dan profesional dalam pengurusan liga.

“Bukan hanya melepaskan tanggungjawab ini kepada satu pihak tapi dalam masa sama kita kena perlu mengkaji baik dan buruknya...itu seelok-eloknya.

“Jika kita beri tanggungjawab ini kepada satu pihak tapi pihak berkenaan tidak dapat merencanakan dan menjanakan selain memperluaskan lagi (Liga M), tidak ada makna juga, mesti beri cadangan lebih baik dari apa yang ada sekarang,” katanya selepas majlis berbuka puasa bersama anak yatim serta penduduk di Masjid FELDA Bukit Goh, petang kelmarin.
Selain itu Tengku Abdullah berkata, beliau juga bimbang wujud implikasi perundangan jika liga diuruskan pihak swasta.

“Sebab itu, lebih baik kita tengok dari segi pengkorporatan dulu dan bukan penswastaan, gabungkan tenaga swasta serta FAM dan kemudian kita perkemaskan dalam masa terdekat.
“Jika melepaskan Liga M ini mungkin ada risiko tinggi, kita tidak tahu siapa kita nak beri tanggungjawab ini, takut ada masalah perundangan, ini memang harus dikaji dengan terperinci, tidak perlu buat keputusan melulu atau tergesa-gesa,” katanya.

Tengku Abdullah turut menegur kontroversi yang berlaku membabitkan Mohd Badhri Radzi atau Piya dengan ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal.

“Perkara seperti ini perlu diselesaikan secara dalaman dan tidak payah dipanjangkan. “Saya harap dia (Piya) pulih secepat mungkin dan dapat beraksi semula untuk negara atau negeri. Malah saya rasa tidak perlu dikenakan tindakan terhadapnya,” katanya.



Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

No comments:

Post a Comment