Thursday, July 18, 2013

Azizulhasni buru podium Piala Dunia


Kuala Lumpur: Pengalaman ngeri terbabit dengan kemalangan ketika beraksi di Kejohanan Dunia, Manchester pada 2011 sudah dilupakan sepenuhnya dan kini masa untuk Azizulhasni Awang kembali bergelar pelumba nombor satu dunia.

Azizulhasni berkata, dia berada pada tahap terbaik dan pulih sepenuhnya daripada kecederaan dengan dua kejohanan utama ketika di Jerman dan Australia medan terbaik untuk menilai tahap prestasi terkini.

Misi utamanya kini adalah untuk berada di podium kemenangan.
Biarpun gagal meraih podium di Grand Prix Adelaide minggu lalu dengan rakan senegara, Josiah Ng dilihat lebih menyerlah apabila dua kali berjaya meraih perak, Azizul berkata, kehadirannya ke kejohanan kelas satu itu bukan untuk mencari kemenangan sebaliknya mendapatkan kembali keyakinan.

“Bagus untuk Josiah dan bagus untuk kami berdua kerana ia memberikan kami motivasi sebagai persiapan menghadapi Piala Dunia dan saya memang tidak sasarkan untuk menang di Adelaide. Tapi penyertaan di kejohanan itu memang bagus kerana saya dapat belajar taktik yang boleh digunakan di Piala Dunia.

“Seperti yang pernah jurulatih John Beasley katakan, yang penting adalah persembahan Piala Dunia dan saya harap dapat kembali menduduki podium seperti tahun lalu,” kata pemenang pingat perak di Kejohanan Dunia 2009 dan 2010 itu.

Azizul pemenang pingat emas Sukan Asia New Delhi mengaku kejohanan di Adelaide memberikannya motivasi sebagai persiapan ke Piala Dunia Oktober ini dan apa yang diperlukan ketika ini adalah untuk terus konsisten mendapat kembali rentak seperti dulu.

Dia yang ditemui di majlis menandatangani tajaan Herbalife meluahkan rasa terima kasih apabila syarikat nutrisi global itu terus menaja buat tahun ketiga dalam bentuk wang tunai serta barangan.



Oleh Aida Adilah Mat, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment