Wednesday, July 10, 2013

Atlet Negara Tetap Bersemangat Hadapi Universiade Walaupun Berpuasa


KAZAN, (Rusia) 9 Julai (Bernama) -- Meskipun tidak dapat memulakan hari pertama menunaikan ibadah berpuasa bersama keluarga, atlet negara yang beragama Islam tetap bersemangat untuk meneruskan cabaran pada temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) yang berlangsung di sini.

Tempoh berpuasa selama 19 jam sehari pada musim panas di bumi Kazan, Rusia kali ini pastinya memberikan cabaran hebat buat semua atlet, pegawai serta media yang membuat liputan temasya sukan itu.

Penduduk muslim di Kazan memulakan ibadah puasa esok, akan bersahur seawal 2.30 pagi waktu tempatan (6.30 waktu Malaysia) sebelum berbuka puasa pada 9.45 malam waktu tempatan (1.45 pagi waktu Malaysia).

Bagi atlet olahraga, Noor Amira Nafisah yang pertama kali beraksi di bulan Ramadan di luar negara, ia merupakan pengalaman yang menarik yang tidak mungkin dilupakan.

"Ini kali pertama saya tidak menyambut puasa bersama keluarga di kampung dan memang sedih sebab tidak dapat berpuasa hari pertama bersama ayah dan emak namun saya perlu teruskan juga kerana saya ada tanggungjawab di sini," kata anak jati Perak itu.

Terdahulu, pada Khamis lepas, Noor Amira yang pertama kali beraksi di Universiade mempamerkan lompatan cemerlang selepas berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir acara lompat tinggi wanita.

Turut senada dengan beliau ialah kapten skuad hoki negara, Mohd Norfaeez Ibrahim yang menyifatkan beraksi pada bulan Ramadan memberikan cabaran yang hebat kepada rakan sepasukan untuk mempamerkan aksi yang bertenaga.

"Kebanyakan rakan sepasukan sebelum ini sudah ada pengalaman beraksi dalam bulan puasa namun hanya melibatkan perlawanan persahabatan sahaja tetapi situasi kali ini berbeza memandangkan tekanannya lebih tinggi," katanya ketika ditemui di Perkampungan Sukan di Kazan.

Skuad hoki negara bimbingan Nor Azlan Bakar bakal membuat perhitungan dengan pasukan tuan rumah pada aksi kedua Kumpulan A, esok selepas membenam Poland dengan kemenangan selesa 7-1 pada perlawanan pembukaan.

Petugas sukarelawan, Rania Abdul berkata atlet beragama Islam yang menyertai temasya dwitahunan itu tidak akan mempunyai masalah untuk mencari restoran halal, di sini.

"Umat Islam boleh ke mana-mana sahaja untuk mencari makanan halal. Ada banyak restoran halal di sini," kata pelajar Federal University of Kazan itu.

Sementara itu, pengurus olahraga negara ke temasya itu, Dr Tajul Ariffin Muhammad berkata setiap program serta kebajikan atlet negara pada bulan Ramadan ini dijaga dengan baik.

"Atlet kita tidak akan ada masalah dari segi makanan sebab di perkampungan sukan, bekalan makanan mencukupi," katanya yang merasai pengalaman berpuasa buat kali kedua pada bulan Ramadan selepas edisi 2011 di Shenzen, China.

Daripada Nursyabiha Sukri -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment