Wednesday, July 17, 2013

Amal permainan ‘power game’


Kuala Lumpur: Datuk Lee Chong Wei diyakini mampu meraih gelaran Kejohanan Dunia yang akan berlangsung di Guangzhou, China, pada 5-11 Ogos namun perlu mengamalkan permainan kekuatan (power game) jika bertemu Lin Dan.

Pensyarah Kanan/Pakar Psikologi Sukan Universiti Malaya Dr Balbir Singh Gill berkata, Chong Wei tidak mempunyai masalah ketika berdepan pemain lain namun ada saja yang tidak kena apabila menentang pemain China itu seperti di final Sukan Olimpik London tahun lalu.

“Saya tidak bersetuju apabila ramai memperkatakan Chong Wei kalah dari segi mental. Kekuatan mental seseorang berdasarkan motivasi dirinya dan Chong Wei cukup bermotivasi. Dia seorang yang mengejar kejayaan dan tidak pernah mengecewakan jika ada ganjaran,” kata Balbir.

Beliau menganggap pemain nombor satu dunia ini sebagai atlet badminton yang memiliki fizikal paling cergas di dunia.

“Dari segi ketangkasan, Chong Wei jauh lebih baik berbanding Lin Dan, tapi dari segi teknikal, kedua-duanya setara. Masalah sebenarnya taktikal digunakan dalam satu-satu perlawanan itu.

“Selama ini kita boleh lihat bagaimana Chong Wei mampu menangani pemain lain, semuanya disebabkan taktikal yang betul. Tapi apabila menentang Lin Dan, kita nampak dia tercari-cari taktikal yang boleh mengatasi juara Olimpik itu. Kita boleh lihat setiap kali Chong Wei melakukan gerakan badan, Lin Dan tidak terpedaya dan tidak bergerak langsung. Malah setiap kali Chong Wei mengangkat tinggi bulu tangkis, Lin Dan sudah bersedia mematikannya.

FotoCHONG Wei miliki fizikal paling cergas di dunia.
“Lin Dan mempunyai kekuatan (power) dalam setiap pukulan. Cara terbaik untuk mengatasinya, Chong Wei juga mesti mempamerkan aksi kekuatan (power game).

“Sebelum ini ketika dilatih Misbun Sidek, Chong Wei dipengaruhi dengan permainan ‘stroke’ tapi apabila Misbun tidak lagi mengendalikannya, Rashid Sidek memperkenalkan semua permainan kekuatan dan waktu itulah Chong Wei menang dua kali ke atas Lin Dan dalam dua set.

“Dalam permainan badminton, memang kemahiran dan kecergasan pemain itu penting tapi ada masanya percaturan taktikal jurulatih itu memainkan peranan besar,” kata Balbir.



 Oleh Mohd Hilmie Hussin, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment