Monday, June 17, 2013

Zolkples Kecewa Tindakan Revington Letak Jawatan

KANGAR, 16 Jun (Bernama) -- Tindakan Paul Revington meletak jawatan sebagai ketua jurulatih skuad hoki kebangsaan semalam adalah mengecewakan, kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong.

Katanya beliau tidak tahu punca sebenarnya walaupun ada laporan mengaitkan tindakan itu dibuat kerana tidak berpuas hati dengan wujudnya campur tangan dalam mengendalikan skuad kebangsaan.

Bagaimanapun, katanya jurulatih antarabangsa kelahiran Afrika Selatan itu telah melaksanakan tanggungjawab dengan baik sejak mengambil alih jawatan itu daripada Tai Beng Hai pada Ogos tahun lepas.

Zolkples berkata demikian kepada pemberita semasa melawat keluarga pemain hoki Allahyarham Mohamad Akmal Daniel Che Azni, 11, di Kampung Tanjong, dekat sini hari ini.

Revington telah mengirim e-mel kepada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) semalam bagi mengumumkan peletakan jawatannya dengan mendakwa wujud campur tangan tertentu dalam mengendalikan skuad kebangsaan.

Zolkples mengakui Revington merupakan seorang jurulatih yang berkaliber dan bagus serta ketiadaan beliau merupakan satu kerugian kepada hoki negara.

Selain itu, semua pemain mengaku seronok untuk berlatih walaupun agak memenatkan di bawah bimbingan jurulatih itu, katanya.

Pada lawatan itu, Zolkples menghulurkan sumbangan MSN sebanyak RM5,000 dan sumbangan insurans berkelompok sebanyak RM27,500 kepada bapa Allahyarham, Che Azni Che Ani.

Allahyarham terbunuh dalam kemalangan jalan raya apabila dirempuh sebuah kenderaan ketika melintas di Jalan Kaki Bukit dekat sini 19 April lalu.

Semasa kejadian, Allahyarham yang juga pelajar darjah lima Sekolah Kebangsaan Kampung Salang sedang dalam perjalanan untuk mengikuti latihan hoki di Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Hassan dengan berbasikal.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment