Thursday, June 20, 2013

Wilayah Persekutuan Berminat Jadi Tuan Rumah Sukma 2018

PUTRAJAYA, 18 Jun (Bernama) -- Wilayah Persekutuan berminat untuk menjadi tuan rumah temasya Sukan Malaysia (Sukma) pada tahun 2018.

Ketua Kontinjen Wilayah Persekutuan ke Sukma XVI Kuala Lumpur Datuk Hassim Ismail berkata pihaknya sudah menghantar bidaan serta maklumat lengkap kepada pihak berkenaan baru-baru ini.

"Walaupun Johor dan Perak juga berminat, namun mereka belum menghantar bidaan, hanya kami (Wilayah Persekutuan) sahaja yang dah hantar," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Wilayah Persekutuan ke Sukma XVI Kuala Lumpur 2013.

Majlis itu disempurnakan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Hassim berkata sebagai persiapan, Wilayah Persekutuan akan membangunkan stadium serta kompleks sukan di Putrajaya selain fasiliti yang mencukupi untuk para atlet berlatih dan bertanding.

Beliau berkata pembangunan kompleks sukan itu juga akan dapat menangani masalah utama kontinjen Wilayah Persekutuan iaitu kekurangan tempat latihan untuk para atlet berbanding negeri lain.

"Ramai yang beranggapan kita banyak tempat latihan seperti Stadium Nasional Bukit Jalil tetapi fasiliti di sana adalah untuk atlet kebangsaan.

"Jadi atlet Wilayah Persekutuan tidak mempunyai banyak tempat untuk membuat latihan," katanya.

Sementara itu, mengulas Sukma XVI Kuala Lumpur yang bakal berlangsung dari 28 Jun hingga 7 Julai ini, kontinjen Wilayah Persekutuan menyasar kutipan 18 pingat emas daripada 20 acara yang dipertandingkan.

Penyertaan kontinjen Wilayah Persekutuan melibatkan 419 atlet, 29 pengurus, 45 jurulatih dan 76 pegawai urus setia.



-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment