Wednesday, June 05, 2013

Tiada Kompromi Isu Doping

Kuala Lumpur: Tidak ada kompromi! Itu kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengenai isu doping yang pernah melanda sukan tanah air - terbaru, membabitkan sukan olahraga menyaksikan enam atlet dan seorang jurulatih dihukum gantung oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Khairy jelas memberi gambaran betapa isu doping dipandang serius pihaknya selain peristiwa hitam itu harus dijadikan panduan berguna kepada semua penggiat sukan di masa hadapan.

“Kementerian dan MSN (Majlis Sukan Negara) sama sekali tidak akan berkompromi dalam ini. Kalau mereka lari dari ujian dadah dan dikenakan tindakan maka kita tidak ada apa-apa simpati terhadap mereka kerana ini adalah satu perkara serius.

Kaedah sukan moden

“Kami sama sekali tidak akan bersikap toleransi berkaitan isu doping," katanya selepas mengadakan kunjungan ke Institut Sukan Negara (ISN) bersama timbalannya, Datuk M Saravanan, semalam.

Minggu lalu, bekas ketua jurulatih olahraga, Harun Rasheed Othman digantung 10 tahun oleh CAS dan enam atlet - Mohd Noor Imran Abdul Hadi, Siti Zubaidah Adabi, Norjannah Hafiszah Jamaluddin, Siti Sarah Abdul Kadir serta Yee Yi Ling digantung selama dua tahun manakala Siti Fatimah Mohamad digantung 18 bulan.

Kumpulan itu pernah menggemparkan dunia sukan tanah negara apabila didakwa cuba melarikan diri daripada ujian doping dua tahun lalu.

Sementara itu, Khairy berkata, tahap kesedaran atlet mengenai penggunaan sains dalam sukan masih lagi di tahap rendah dan ia memerlukan kerjasama besar daripada persatuan sukan dalam memastikan kaedah sukan moden diguna pakai.

“Kita tidak mahu sains sukan hanya digunakan untuk mengimbas kembali perlawanan tetapi mahu ia digunakan sebagai persiapan awal menghadapi sebarang kejohanan seperti persediaan nutrisi dan psikologi.

“Bukan saja atlet yang mempunyai kesedaran rendah tetapi jurulatih juga sama. Mereka harus percaya kepada pendekatan sains sukan kerana sukan moden ketika ini kebanyakannya berdasarkan kepada kaedah itu,” katanya. 
 
 
http://www.bharian.com.my

No comments:

Post a Comment