Thursday, June 13, 2013

‘Tiada kemajuan!’

Kuala Lumpur: Tan Kim Her tidak akan lagi berada dalam barisan jurulatih Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas tamat kontrak kerana beliau dianggap gagal menghasilkan keputusan, iaitu memastikan pemain beregu, terutama lelaki meraih gelaran utama antarabangsa.
Keputusan itu diumum Pengurus Besar BAM Kenny Goh yang mengaku jurulatih itu tidak berjaya menaikkan prestasi pemain badminton negara.

“Ya, memang beliau tidak menghasilkan keputusan yang kami inginkan,” kata Kenny ketika menjawab soalan adakah ketua jurulatih beregu itu mencapai Indeks Petunjuk Prestasi (KPI).

Sebelum ini BAM mempertahankan tindakan menerima peletakan Rexy Mainaky tahun lalu, disebabkan tidak lagi membawa hasil menerusi keputusan dan kejuaraan di kejohanan antarabangsa.

Namun sejak Kim Her kembali ke dalam barisan kejurulatihan kebangsaan 2010, beliau boleh dianggap langsung tidak membawa hasil seperti keputusan ditunjukkan Rexy, menamatkan kemarau 36 tahun pingat emas Sukan Asia menerusi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong di Doha 2006, selain pasangan itu juga menjuarai Seluruh England pada 2007.

Di bawah bimbingan Rexy juga, gandingan terbabit hampir menang gelaran takhta dunia di Paris 2010.

Foto


GANDINGAN Kien Keat (kanan) dan Boon Heong tak menyerlah. 

Meskipun Rexy disingkir untuk menjaga beregu wanita sejak Kim Her kembali, jurulatih itu pantas mengubah gandingan Chin Eei Hui-Wong Pei Tty dan Woon Khe Wei-Vivian Hoo ke dalam kelompok 20 pemain terbaik dunia.

BAM juga harus melihat pergolakan di kalangan pemain sejak jurulatih itu mula berkuasa, apabila beberapa pemain beregu bergaduh dan bertindak meminta bertukar gandingan.
Malah pembantunya, Pang Cheh Chang sebelum ini juga pernah menganggap dirinya menjadi mangsa jurulatih itu.




Oleh Mohd Hilmie Hussin, Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment