Monday, June 03, 2013

‘Tak terima tak apa...’

Rembau: “Saya ikhlas memberi pandangan terhadap FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia). Kalau nak terima, OK…kalau tak nak terima tak apa…saya tak nak komen lebih lanjut sebab tak nak panjangkan perkara ini."
Itulah penjelasan ringkas Khairy Jamaluddin Abu Bakar berhubung kenyataan Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah yang terkilan dengan luahan Menteri Belia dan Sukan itu mengenai perlawanan separuh akhir kedua Piala FA membabitkan Pahang menentang Johor Darul Takzim (DT) di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Khairy berkata, selaku menteri di Kementerian Belia dan Sukan (KBS), beliau bukan hanya menyampaikan pandangan peribadi semata-mata tapi mengambil kira laporan diterima selain pendapat orang awam.
“Kalau pandangan seperti itu tidak mahu diterima apa boleh buat,” katanya selepas merasmikan Kursus Asas Haji peringkat daerah Rembau bertempat di Dewan Besar Annur Sekolah Menengah Agama Dato Haji Abu Hassan Haji Sail, Pedas, di sini, semalam.

Sebelum ini, Khairy dilaporkan mempertikaikan keadilan FAM apabila mengekalkan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNJ) sebagai tuan rumah walaupun mereka gagal menangani aspek keselamatan di Stadium Darul Makmur pada aksi yang sepatutnya berlangsung pertengahan minggu lalu.

Selain itu, beliau turut mencadangkan supaya hasil kutipan tiket kepada PBNP dihadkan kerana berpeluang mengaut keuntungan lebih besar di Stadium Nasional Bukit Jalil berikutan kapasiti stadium yang boleh memuatkan 80,000 penonton.
Dalam aksi perlawanan tertunda separuh akhir kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam kelmarin, Johor DT melangkah ke final Piala FA selepas menumpaskan Pahang 2-1.

Johor DT mara ke akhir untuk bertemu penyandang juara Piala FA, Kelantan pada 29 Jun ini, berikutan memiliki kelebihan jaringan di tempat lawan selepas kedudukan agregat terikat 2-2 sehingga tamat perlawanan.


Oleh Sitie Nurhajatulziemah Mohd Nor - Arena , Harian Metro

No comments:

Post a Comment