Friday, June 07, 2013

Stadium Nasional ditutup 6 bulan


KHAIRY (tengah) ditemani pegawai Perbadanan Stadium Malaysia memeriksa rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Perbadanan Stadium Malaysia akan menutup Stadium Nasional Bukit Jalil di sini selama enam bulan mulai Oktober depan untuk kerja-kerja baik pulih padang stadium itu, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Khairy berkata, beliau telah melihat keadaan padang di Stadium Nasional dan didapati ia perlu ditukar dengan rumput baharu.
"Keadaan rumput padang di stadium ini sudah tidak mencapai standard antarabangsa," katanya kepada pemberita selepas melawat Stadium Nasional dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) di sini semalam.

Beliau memberitahu, usaha baik pulih perlu dibuat kerana ia merupakan stadium utama bukannya 'stadium kedua atau ketiga'.

Beliau menarik perhatian bahawa pemain-pemain bola sepak kelab antarabangsa yang pernah beraksi di stadium itu ada memberi komen mengenai keadaan padang.

Khairy berkata, beliau turut meminta Perbadanan Stadium Malaysia mengurangkan aktiviti bukan berkaitan sukan di Stadium Nasional dan ia akan dilaksanakan secara berperingkat.

Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia, Datuk Jamil Salleh berkata, tender untuk kerja membaik pulih itu akan dikeluarkan pada penghujung Ogos atau awal September depan dan anggaran kos bergantung kepada jenis rumput dan kerja yang perlu dilakukan.

"Kita tidak akan menukar rumput padang stadium dengan rumput sintetik," jelasnya sambil memberitahu tempoh enam bulan untuk kerja baik pulih padang mencukupi.
Menurutnya, semua aktiviti sukan termasuk perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia masih boleh dilangsungkan di situ sehingga hujung September.

Untuk rekod, pada April 2005, Perbadanan Stadium Malaysia yang ketika itu dikenali sebagai Perbadanan Stadium Merdeka melaksanakan kerja menukar rumput di Stadium Nasional buat kali pertama sejak dibuka untuk Sukan Komanwel 1998.

Langkah menggantikan rumput jenis Bermuda di padang itu kepada jenis Marimo Paspalum menelan kos RM1.2 juta dan siap sepenuhnya pada Oktober 2005.

Padang stadium berkenaan sekali lagi ditutup bagi semua aktiviti sukan pada November 2006, untuk dibaik pulih sebelum dijadikan venue Kejohanan Bola Sepak Piala Asia pada Julai 2007. - Bernama

No comments:

Post a Comment