Tuesday, June 18, 2013

Shahidan Perlu Dapat Persetujuan Kabinet Untuk Kekal Presiden ASUM - Khairy

PUTRAJAYA, 17 Jun (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim perlu mendapat persetujuan Kabinet jika berharsat untuk terus menerajui Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) sehingga Sukan Olimpik 2016, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata setakat ini tiada pengecualian bagi bekas Menteri Besar Perlis itu memegang jawatan tersebut seperti yang termaktub dalam arahan Kabinet pada 2007.

Mengikut arahan tersebut, Menteri, Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen dilarang daripada memegang sebarang jawatan dalam sebarang persatuan sukan tempatan.

Bercakap kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) di sini Isnin, Khairy menegaskan jika Shahidan berkeras mahu kekal dalam ASUM, beliau perlu mengemukakan cadangan membatalkan arahan itu pada mesyuarat Kabinet akan datang.

"Saya akan bertemu dengan beliau (Shahidan) pada Rabu ini bagi menerangkan secara jelas berhubung kedudukan itu. Saya akan ingatkan beliau, kecuali ada pengecualian daripada jemaah menteri yang batal keputusan yang lepas.

"Bagi saya sebagai menteri, saya tiada masalah kalau menteri Kabinet nak pegang jawatan selagi dia bukan Menteri Belia dan Sukan," katanya.

Sebelum ini, Shahidan dilaporkan berkata beliau berhasrat mengekalkan jawatan Presiden ASUM sehingga Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil kerana beliau mempunyai banyak perancangan bagi memartabatkan lagi sukan itu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment