Monday, June 17, 2013

Saya tak tahu apa-apa - Dharma

Muhammad Dharma Raj Abdullah
 
KUALA LUMPUR - 'Saya tidak tahu apa-apa'. Demikian tegas jurulatih skuad hoki remaja kebangsaan, Muhammad Dharma Raj Abdullah ekoran dakwaan jurulatih kebangsaan, Paul Revington bahawa dia campur tangan dalam urusan skuad senior.

Rasa tidak berpuas hati terhadap campur tangan Dharma Raj dikatakan mendorong Revington menghantar surat peletakan jawatan melalui emel kepada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) kelmarin.

Dharma Raj yang mengulas dakwaan tersebut, ternyata bingung dan tidak faham dengan dakwaan yang dilemparkan oleh Revington.

Menurutnya, setakat ini belum ada wakil MHC yang memberitahunya secara terus mengenai tuduhan yang dimaksudkan Revington sebaliknya hanya mengetahui perkara tersebut menerusi laporan media di televisyen kelmarin.

"Tuduhan tersebut amat mengecewakan saya. Saya akan tanya dia (Revington) apa yang dimaksudkan dengan campur tangan saya dalam skuad kebangsaan. Saya akan mengadakan perbincangan dengannya Selasa ini (esok) bersama MHC," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Jelas Dharma Raj, dia mahu tahu apa yang dimaksudkan dengan campur tangan dalam skuad senior, kerana ia adalah isu negara.
Menurutnya, sepanjang pengetahuannya dia langsung tidak melakukan perkara seperti yang didakwa Revington itu.

"Jika berlaku sedikit perselisihan fahaman, itu adalah perkara biasa, sama seperti ketika Tai Beng Hai menjadi jurulatih sebelum ini, kerana kami sentiasa tidak sependapat namun masing-masing mempunyai tugas dan pasukan sendiri yang perlu dijaga.

"Namun saya tidak pernah campur tangan, saya hanya buat kerja saya. Saya hairan macam mana boleh terheret sama dalam situasi ini," kata Dharma Raj.

Dharma Raj berkata, kalau ada pemain skuad kebangsaan yang tidak mengikut cakap Revington, kenapa perlu menyalahkan orang lain, sebaiknya perlu bertanyakan terus kepada pemain itu sendiri.
"Apa hak saya untuk mencampuri urusan orang lain. Saya tidak tahu-menahu dan baru pulang dari Korea Selatan, mengapa mereka menuduh saya sedemikian.

"Ada perkara yang kita tidak sependapat tetapi bukannya bermusuhan, dia ada caranya tersendiri, saya ada cara saya juga dalam membimbing pasukan, masing-masing mempunyai kerja untuk dilakukan," katanya.

Kelmarin melalui satu emel yang dihantar Revington kepada MHC, dia berterus-terang sudah tidak mampu lagi bekerjasama dengan Dharma Raj dan Pengarah Program Pembangunan Hoki Satu Malaysia, Lim Chiow Chuan, yang didakwa sering campur tangan semasa mengendalikan skuad kebangsaan.

Namun, Pengerusi Kejurulatihan MHC, Majid Manjit Abdullah berkata, seramai 16 orang ahli jawatankuasa kejurulatihan belum bersedia menerima peletakan jawatan Revington.
Perkara itu akan di rujuk kepada Presiden MHC, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebelum kata putus akan ditentukan dalam mesyuarat Eksekutif MHC pada 30 Jun ini di Johor Bahru.

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
 

No comments:

Post a Comment