Wednesday, June 05, 2013

‘Sains sukan keutamaan saya’

MENTERI BELIA DAN SUKAN, YB Khairy Jamaluddin melahirkan rasa kecewa beliau terhadap sebahagian besar atlet dan jurulatih kebangsaan yang masih berpengetahuan cetek mengenai sains sukan.
Khairy berkata penggunaan sains sukan dalam era moden ini adalah tidak dapat dielakkan lagi dan beliau berpendapat bahawa pembangunan sukan negara tidak akan berkembang maju selagi ia tidak diamalkan sepenuhnya.
“Malangnya, kesedaran para atlet kita mengenai sains sukan masih berada pada paras yang agak rendah,” keluh Khairy.
“Bukan sahaja atlet, yang lebih kritikal lagi adalah golongan jurulatih itu sendiri. Jurulatih mesti percaya kepada pendekatan sains sukan.
“Kalau kita bercakap tentang sukan moden, kebanyakan elemennya adalah berdasarkan sains sukan.
“Latihan biasa sudah menjadi kemestian, kita tidak halang atau sekat, tetapi soal persediaan atlet itu dari segi psikologi, nutrisi dan ‘conditioning’ fisiologi mereka haruslah diberi tumpuan yang lebih.
“Saya dimaklumkan ISN, antara atlet yang paling memandang serius sains sukan dalam semua aspek adalah (Datuk Lee) Chong Wei. Kerana beliau serius dalam pendekatan saintifiklah beliau masih mampu beraksi pada tahap tertinggi meskipun berusia 30 tahun.”
Justeru itu, beliau memberi jaminan bahawa ISN akan disokong sepenuhnya KB menerusi Pelan Strategik ISN 2013-2020 dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet bertaraf dunia.
“ISN akan menjadi antara keutamaan (kementerian) saya sebab saya percaya kepada pendekatan pembangunan sukan yang berdasarkan sains,” ujarnya.
“Jadi, saya akan memberi banyak sokongan dan dorongan kepada ISN untuk membantu kita melahirkan ramai atlet yang mampu menunjukkan prestasi di peringkat yang tertinggi sekali.
“Antara penambahbaikan yang akan dilakukan melalui pelan strategi tujuh tahun itu termasuklah dari segi kakitangan, kepakaran dan kemudahan.”
Khairy bercakap kepada pemberita selepas mengadakan lawatan pertamanya sebagai menteri ke pejabat ISN di Bukit Jalil petang tadi.
Beliau yang ditemani timbalannya Datuk M. Saravanan, meluangkan hampir dua jam untuk menjenguk seluruh bangunan sambil mendengar dengan penuh minat taklimat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Ahmad Shapawi Ismail.
Dalam pada itu, tambah Khairy, KBS juga akan memberi penekanan khusus kepada program pengenalpastian bakat yang lebih seragam dalam usaha mencungkil atlet berpotensi seawal di bangku sekolah rendah lagi.
Khairy menjelaskan, KBS akan menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk tujuan itu.
“Saya sendiri akan mempengerusikan satu jawatankuasa bersama untuk kita selaraskan pendekatan baru yang seragam dari aspek pengenalpastian dan pembentukan bakat di peringkat umur yang lebih rendah lagi.
“Ini penting sebab kalau kita tidak ada program pengesanan bakat baru yang bagus, kita tidak akan dapat menghasilkan atlet terbaik dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
“Jadi jawatankuasa ini akan bermesyuarat dalam masa terdekat untuk mencari satu sistem seragam yang boleh digunapakai di setiap sekolah di seluruh negara supaya bakal atlet kebangsaan dapat dikenalpasti seawal mungkin dan diserap ke dalam sistem ISN dan MSN.”


http://www.sports247.my

No comments:

Post a Comment