Thursday, June 13, 2013

Rizal bangkit pamer kekuatan di trek

Kuala Lumpur: Kejohanan Trek Berbasikal Kebangsaan 2013 menjadi medan kebangkitan pelumba negara, Rizal Tisin untuk kembali menjana kekuatannya dalam acara basikal trek.
Meraih perak dalam acara kejar-mengejar berpasukan, Rizal menyifatkan ia satu permulaan baik buat dirinya selepas hampir dua tahun berehat.

Meletakkan kejohanan kebangsaan ini sebagai langkah pertama, Rizal yang bergandingan bersama Muhammad Elmi Jumari, Hamdan Hamidun dan Muhammad Imran Mohd Zubir dalam acara kejar-mengejar tewas kepada pelumba Kelantan diketuai Loh Sea Keong, Muhammad Syafiq Syazwan Zainuddin, Mohammad Al-Ghazali Abd Hamid dan Nik Mohd Azwan Zulkifle.
“Ini satu permulaan baik. Banyak bezanya dulu dan sekarang. Banyak yang perlu saya buat untuk memperbaiki kayuhan selepas ini,” katanya.

Mula menjalani latihan intensif sejak Mei lalu selepas mendapat pelepasan majikannya, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), pemenang pingat perak temasya Sukan Komenwel New Delhi itu berkata, sasaran sebenarnya adalah untuk menyerlah di Sukan Asia dan Komanwel.

Bagaimanapun dia tidak akan memberi tumpuan kepada acara yang pernah menaikkan namanya pada 2009 apabila memenangi pingat gangsa acara 1 kilometer ujian masa di Kejohanan Dunia di Poland, Rizal sebaliknya akan memberi fokus kepada acara pecut berpasukan dan kejar-mengejar berpasukan. “Selepas berbincang dengan John Beasley, beliau setuju saya menumpukan kepada dua acara itu,” katanya yang memegang rekod kebangsaan 4 minit 18 saat dalam acara kejar-mengejar berpasukan bersama Adiq Husainie Othman, Amir Mustafa Rusli dan Akmal Amrun dicipta di Sukan Asia Guangzhou 2010.


Arena - Harian Metro

No comments:

Post a Comment