Monday, June 17, 2013

Revington menghadap Tengku Abdullah


Kuala Lumpur: Sama ada Paul Revington akan menarik semula keputusan untuk meletak jawatan sebagai ketua jurulatih hoki negara seperti diputuskan kelmarin masih menjadi tanda tanya selepas beliau mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak semalam.

Revington pada sebelah pagi bertemu dengan Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan Majid Manjit Abdullah sebelum bertemu Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada sebelah petang.

Difahamkan pengendali berusia 39 tahun dari Afrika Selatan itu belum membuat sebarang keputusan muktamad mengenai masa depannya dan akan terus mengadakan perbincangan bersama beberapa pihak hari ini dan esok sebelum membuat keputusan muktamad.
Difahamkan esok Revington serta beberapa pengurusan kanan MHC akan bertemu Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong.

Namun khabar angin kuat menyatakan Revington yang membimbing skuad negara sejak Ogos tahun lalu, sedia untuk menarik balik keputusan awalnya selepas bertemu dengan Tengku Abdullah sendiri semalam.

“Saya percaya beliau belum buat keputusan lagi. Revington hanya akan membuat keputusan selepas berbincang dengan pelbagai pihak,” kata sumber.
Sementara itu, Naib Presiden Kanan MHC Datuk Nur Azmi Ahmad meluahkan rasa kesal ke atas Jawatankuasa Kejurulatihan yang dipengerusikan oleh Majid kerana mengadakan sidang media tanpa pengetahuan pihak atasan kelmarin.

Jelas Nur Azmi, isu seperti itu sepatutnya diumumkan oleh Presiden MHC atau pun MSN diketuai Zolkples sebagai pihak yang menggaji jurulatih itu.
“Bagi saya apa yang dinyatakan pada sidang media itu adalah pendapat peribadi (Majid) saja, bukan mewakili kata putus semua anggota MHC.

“Saya kecewa kerana perkara ini sepatutnya dibincangkan terlebih dulu, bukan Jawatankuasa Kejurulatihan terus buat kenyataan,” katanya.

Nur Azmi juga tidak faham mengapa perlu dengan tiba-tiba Jawatankuasa Kejurulatihan membuat kenyataan sedia untuk menyingkirkan ketua jurulatih skuad remaja Muhammad Dharma Raj Abdullah serta Pengarah Program Pembangunan 1MAS Lim Chiow Chuan dalam usaha memujuk Revington kembali membimbing skuad negara.

“Dharma umpamanya sudah membantu pasukan meraih banyak kejayaan, malah banyak pemain sedia ada yang berada dalam skuad senior sekarang ini adalah di bawah didikannya dulu.

“Jadi kenapa perlu membuang seorang jurulatih yang bagus? Bukankah perkara seperti ini boleh dibincangkan terlebih dulu?” katanya.

Azmi berkata, beliau sudah berbincang dengan Revington dan jurulatih itu juga katanya tidak bersetuju dengan keputusan untuk memecat Dharma serta Lim.

Ditanya apakah kedudukan sebenar Revington ketika ini, Nur Azmi sekadar berkata: “MHC masih amat memerlukan khidmatnya.”


Harian Metro

No comments:

Post a Comment