Tuesday, June 18, 2013

Revington kekal jurulatih negara

Kuala Lumpur: Teka-teki mengenai masa depan Paul Revington akhirnya terjawab selepas ketua jurulatih skuad hoki negara itu bersetuju menarik balik keputusan meletak jawatan sekali gus terus membimbing skuad negara untuk sekurang-kurangnya hingga kempen separuh akhir Liga Hoki Dunia di Johor Bahru bermula 29 Jun ini.

Revington mengubah pendiriannya selepas mengadakan perbincangan dari hati ke hati bersama Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin di pejabatnya semalam dalam usaha mencari jalan penyelesaian berhubung kariernya sebagai jurulatih kebangsaan selepas dunia sukan tempatan dikejutkan dengan berita peletakan jawatan pengendali berusia 39 tahun itu sebelum ini.

Khairy selepas pertemuan dengan Revington bagaimanapun berkata, beliau masih berhasrat untuk bertemu dengan semua individu yang terbabit dengan isu peletakan jawatan itu termasuk Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah selepas ini.
“Cukuplah untuk saya menyatakan hari ini (semalam) bahawa Paul (Revington) sudah bersetuju untuk kekal sebagai jurulatih pasukan hoki kebangsaan sehingga Liga Hoki Dunia pada hujung bulan ini,” katanya.

Khairy berkata, Revington juga mungkin turut bersetuju membimbing skuad negara selepas berakhir saingan di Johor Bahru.

“Cuma saya kena bincang juga dengan mereka yang terbabit sebelum kita buat ketetapan untuk beliau kekal selepas Liga Hoki Dunia,” katanya.
Beliau juga mengaku berasa lega dengan keputusan yang diambil Revington kerana menganggap jurulatih berasal dari Afrika Selatan itu cemerlang membimbing skuad negara sebelum ini.

“Beliau mengendalikan pasukan kebangsaan dengan baik dan pemain pun menghormatinya. Saya tidak mahu momentum pasukan kita ke Liga Dunia terjejas,” katanya.
Ditanya adakah beliau ada memberi jaminan kepada Revington sehingga mendorong jurulatih itu menarik balik keputusan daripada meletak jawatan, Khairy menafikan tanggapan itu.

“Tiada apa-apa jaminan. Cuma saya maklumkan kepadanya bahawa saya sendiri secara peribadi akan menangani isu ini bersama Tengku Abdullah.

“Perkara ini ‘meletup’ ketika saya baru jadi menteri. Jadi saya tidak diberitahu mengenai perkara mendorong kepada keputusan beliau nak meletak jawatan.

“Apabila sudah sampai ke pengetahuan saya, saya rasa boleh membantu cuba meredakan keadaan,” katanya.


Arena - myMetro

No comments:

Post a Comment